BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, June 10, 2009

negeri sembilan


homestay kampung pelegong
.
Anda berpeluang ke kampung Melayu tradisional menerusi program Homestay Kampung Pelegong di Negeri Sembilan. Berkongsi juga keramahan dan kemesraan tuan rumah anda dan menjadi salah seorang ahli keluarga mereka sambil mengambil bahagian di dalam aktiviti harian mereka. Mulakan pengalaman tulen hidup di kampung. Kedengaran bunyi ayam berkokok menyambut hari baru diwaktu subuh, nikmati udara segar yang nyaman dan bersedialah untuk mengalami saat-saat indah sepanjang lawatan anda di sini.


Kumpul sendiri telur dari reban ayam, belajar menoreh getah, nikmati air yang sejuk nyaman ketika mandi di sungai sebelum cuba memancing ikan atau menbuat kuih tradisional.
Pengalaman-pengalaman yang menanti anda di sini juga akan memberikan anda kefahaman mengenai asal-usul kampung serta kekayaan sejarahnya. Hargai industri-industri kecil daya usaha penduduk kampung yang rajin serta kehalusan barangan yang dihasilkan mereka. Kagumi ketangkasan jari jemari Pak Adul penganyam tikar, juga lelaki dan wanita yang pakar menghasilkan kraftangan yang cantik-cantik belaka.

Jika anda gemarkan aktiviti luar, anda pasti suka berjalan mengikuti trek ke hutan hujan tebal berhampiran serta sungai jernih dan air terjun yang ada di situ.
Kemudian pulang ke perkampungan ini untuk menikmati urutan tradisional, lelaki mahupun wanita, bagi menghilangkan penat lelah.


Cara terbaik untuk menggunakan sepenuhnya masa anda di homestay ini ialah dengan mempelajari beberapa patah perkataan dialek mereka. Kampong Pelegong dihubungi dengan rangkaian jalanraya yang baik. Kampung ini mudah dikunjungi di mana hanya 15 km dari bandar Seremban, 30 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dan 55 km dari ibunegara, Kuala Lumpur. Dalam program homestay, anda akan menginap di rumah 'keluarga angkat' anda yang merupakan sebuah rumah kampung biasa.
.
.
jeram gading

Landskap indah hutan hujan tropika, sungai dan air terjun, berlatarbelakangkan gunung dan bukit di sebelah timur serta pantai berpasir putih di sebelah barat menggambarkan bentuk mukabumi Negeri Sembilan. Topografi negeri ini agak berbukit kerana kedudukannya di hujung Banjaran Titiwangsa yang mengunjur dari utara Semenanjung Malaysia. Beberapa kawasan rekreasi telah dikenalpasti di sini termasuk yang paling utama - Taman Negara.

Nama tempat ini dipercayai berasal dari kehadiran sekumpulan gajah di kawasan ini - perkataan 'gading' itu merujuk kepada gading gajah. Tarikan utama di Jeram Gading ialah air terjunnya yang mengalir menerusi pokok-pokok dan bongkah batu telah menghasilkan fenomena indah di kaki air terjun sebelum mengalir ketakungan air yang tenang.
.

Walaupun kawasan ini tidak sesuai untuk aktiviti berkayak namun ianya merupakan tempat yang sesuai untuk berkelah bersama keluarga. Bermandi-manda dengan ahli keluarga anda di dalam air yang jernih dan sejuk serta nikmati bunyi air sungai yang sungguh menenangkan. Jeram Gading terletak 23 km dari Kuala Klawang di dalam daerah Kenaboi. Jika anda memandu kereta ke sini, anda dapat melihat dusun buah-buahan di kiri-kanan jalan yang dimiliki oleh penduduk kampung berdekatan. Kini Seremban menjadi sebuah bandar satelit bagi ibukota Kuala Lumpur. Pelbagai jenis tempat penginapan ditawarkan di sini dari asrama pengembara yang ringkas hingga hotel mewah bertaraf 5-bintang
.
.
muzium tentera darat

Muzium Tentera Darat, Port Dickson akan membawa anda menyingkap kembali pelbagai khazanah, koleksi dan artifak yang pernah menjadi saksi sebuah perjuangan demi mempertahankan kedaulatan negara tercinta. Muzium Tentera Darat ini menyediakan sebuah pameran yang berkonsepkan informatif dan interaktif sesuai dengan aspirasi masa kini.

Muzium ini telah dianugerahkan dengan Anugerah Merit Kategori Pelancongan Terbaik (Tarikan Warisan) Anugerah Pelancongan Tahun 2005/2006 oleh Tourism Malaysia. Saksikan persembahan audio visual 'Pepper Ghost' yang pertama seumpamanya di Malaysia dan rasai pengalaman di dalam suasana malam di pelabuhan Kota Melaka serta terowong bawah tanah Parti Komunis Malaya. Waktu Lawatan : Rabu - Ahad (10.00 pagi - 5.00 petang). Ditutup pada hari Isnin dan Selasa.
.
Anda boleh menaiki bas dari stesen bas Terminal Satu Seremban menuju ke bandar Port Dickson, kemudian menaiki sebuah bas tempatan di mana pemandu boleh menurunkan anda di muzium tersebut. Perkhidmatan teksi juga boleh didapati dari pusat bandar. Terdapat beberapa buah calet di tepi pantai dan juga hotel yang agak mewah di bandar Port Dickson.


0 comments: