BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, June 9, 2009

terengganu

pulau kapas
.
Pulau Kapas yang terletak kira-kria 6km dari pinggir pantai Marang ialah sebuah pulau yang tersohor dengan air lautnya yang jernih, pantai berpasir putih dan lambaian pohon kelapa yang gemalai. Pulau ini yang agak terpencil, jauh dari kesibukan di tanah besar merupakan destinasi yang paling sesuai untuk mereka yang mencari tempat untuk ketenangan dan berehat. Pelbagai jenis batu karang lembut dan keras, ikan, penyu dan hidupan laut lain yang menarik menjadikannya destinasi wajib bagi penyelam skuba dan perenang snokel yang arif.
.
Suasana pulau yang santai ini memberi keselesaan kepada pelawat untuk berehat di sini. Selain itu terdapat pelbagai aktiviti di sini untuk memenuhi masa lapang anda. Pilih sahaja kesukaan anda : menyelam, berenang, snokel, luncur papan air, kayak, menaiki bot atau memancing.
Pulau Kapas sukar dikunjungi sewaktu musim hujan di pantai timur (November - Mac).
.
Perjalanan bot dari Marang ke Pulau Kapas memakan masa selama 30 minit. Pulau ini mempunyai resort yang selesa tetapi pelawat disarankan menempahnya sebagai sebahagian dari pakej percutian menyelam yang merangkumi makanan, sesi menyelam dan tempat penginapan.

rantau abang


Satu lagi tempat yang sepatutnya termasuk di dalam jadual percutian pelancong ialah Rantau Abang yang terletak 60km ke selatan bandar Kuala Terengganu. Di sini, pelawat boleh menunggu dari tengah malam hingga ke subuh bagi melihat penyu belimbing yang besar naik ke darat untuk bertelur. Penyu-penyu ini merangkak perlahan-lahan di pasir putih untuk bertelur, meninggalkan gambaran yang tidak mungkin dapat dilupakan pelawat.

Penyu raksasa ini boleh membesar sehingga 2.5m panjang dan kadangkala seberat lebih dari 375kg. Rantau Abang ialah salah satu dari enam lokasi di dunia yang dikunjungi oleh penyu-penyu ini dari bulan Mei hingga September. Penyu dan telur penyu ini adalah dilindungi. Telur penyu dikesan dan dialihkan oleh ahli sains ke pusat inkubator di mana persekitarannya akan dikawal bagi menentukan jantina penyu yang menetas sebagai usaha agar spesis ini terus wujud.

Setibanya anda di pantai ini, kunjungi Pusat Maklumat Penyu di sini bagi mempelajari lebih lanjut mengenai haiwan ini dan mengetahui tempat terbaik untuk melihat penyu bertelur. Perkhidmatan bas dari pekan Marang ke Rantau Abang disediakan setiap setengah jam.


pulau redang
.
Pulau Redang yang terletak 45km dari pinggir pantai Kuala Terengganu merupakan pulau terbesar dari gugusan sembilan buah pulau yang terlindung di Laut China Selatan.
Pulau ini menawarkan air laut yang jernih dan beraneka tapak selaman skuba bagi penggemar aktiviti menyelam. Perairan yang terlindung di sekitar Taman Laut Pulau Redang ini kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut yang cantik dan menarik.





Di waktu tengahari, apabila matahari bersinar terang menebusi air laut, kelihatan jelas terumbu karang yang beraneka jenis, anemone, dan ikan-ikan yang berwarna-warni. Perairan di sekitar Pulau Redang juga mengandungi dua bangkai kapal karam : Kapal H.M.S. Prince of Wales dan H.M.S. Repulse yang karam di sini sewaktu Perang Dunia Kedua yang membolehkan tentera Jepun menakluki Malaya.



Pulau yang indah ini amat sesuai untuk aktiviti snokel, berenang, menyelam skuba, merentas hutan, menaiki bot dan menaiki kanu. Oleh kerana Pulau Redang telah diwartakan sebagai Taman Laut, aktiviti memancing tidak dibenarkan dalam kawasan lingkungan sejauh 3.2km dari pulau. Pelawat juga dilarang mengumpul batu karang atau sebarang hidupan laut yang lain. Berjaya Resort di sini menawarkan kemudahan padang golf dengan persekitaran yang mempesona.

.
Pulau Redang adalah lebih besar dan mempunyai lebih banyak aktiviti berbanding dengan kedua-dua Pulau Perhentian yang berdekatan. Mulakan penerokaan pulau-pulau di sini dengan menaiki bot di salah satu jeti di Kuala Terengganu dan Merang. Perjalanan bot ke Pulau Redang memakan masa selama satu jam dari Kuala Terengganu dan 50 minit dari Merang.

0 comments: