BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, June 3, 2009

pahang

genting highland

Kota Keriangan yang terletak di puncak Genting Highlands yang sejuk dan berangin ini menawarkan keriangan dan keseronokan tanpa henti. Salah satu tarikan utama di Genting Highlands ialah cuacanya yang sejuk dan nyaman. Oleh sebab kedudukannya yang terletak 2,000m dari paras laut, warga Malaysia gemar datang ke sini semata-mata untuk menikmati cuaca nyaman seakan-akan di Eropah!


Pada waktu petang, persembahan-persembahan hebat diadakan di Pavilion atau Pentas Pertunjukan Antarabangsa Genting, sama ada pertunjukan silap mata yang mengelirukan atau pun persembahan luncur ais yang hebat. Pelawat juga boleh pergi membeli-belah di First World Plaza, melawat taman tema, dan menikmati pelbagai jenis makanan yang disediakan di restoran-restoran yang terdapat di sini.

Taman tema tertutup dan kompleks membeli-belah First World Plaza menyediakan pelbagai jenis permainan serta enam kawasan bertema yang berasaskan ibukota dan tempat terkenal di seluruh dunia - Perancis (Champs Elysees), England (London), Itali (Venice), Amerika (Times Square dan Universal Walk), Switzerland (Banjaran Swiss) dan Malaysia (Genting Walk).
Snow World pula merupakan sebuah rumah kabin kayu, sebuah igloo, permainan luncur ais dan kawasan permainan yang bersalji. Kawasan Snow World memang sejuk, oleh itu, jangan lupa memakai pakaian yang tebal. Kanak-kanak pasti sukakan Kolam Air Hutan Hujan, walaupun keadaan cuaca di sini agak sejuk, air di dalam kolam ini sentiasa hangat.

.


Antara tarikan lain yang terdapat di sini termasuk Genting Sky Venture, satu-satunya alat kemudahan yang memberikan pengalaman berpayung terjun yang terdapat di Asia, dan Genting X-pedition Wall, sebuah tembok pendakian bertaraf antarabangsa setinggi 15 meter dengan tebing terjuntai sepanjang 6 meter. Lain-lain tarikan di sini termasuk kemudahan bermain bowling, arked video, pawagam cineplex dan macam-macam permainan lain yang pasti menyeronokkan. Salah satu tarikan utama di sini ialah kasino yang merupakan satu-satunya kasino di Malaysia.

Pelawat disarankan membuat tempahan bilik hotel terlebih dahulu jika ingin bermalam di Genting Highlands kerana ianya adalah sebuah destinasi hujung minggu yang sangat popular. Anda boleh sampai di Genting Highlands di dalam masa lebih-kurang 45 minit sekiranya anda memandu dari Kuala Lumpur menerusi Lebuhraya Karak.




cameron highland

Iklim sejuk, ladang strawberi dan teh serta bangunan gaya Tudor di stesen peranginan tanah tinggi terbesar di Malaysia pasti menawan hati pelancong. Terdapat pelbagai aktiviti untuk anda nikmati di Tanah Tinggi Cameron, pusat peranginan tanah tinggi yang terbesar di Malaysia.
Bersiar-siar melalui perkampungan yang menarik, melawat taman rama-rama, ladang lebah dan strawberi serta ladang teh yang terhampar luas atau nikmati makanan lazat yang dihidangkan di restoran gaya Tudor - semua aktiviti yang menyeronokkan dan menenangkan tersedia di sini untuk anda.


Cuaca nyaman di sini memang tidak dapat ditandingi. Luangkan beberapa hari di sini, jauh dari kehangatan cuaca di tanah rendah dan anda pasti kembali segar untuk percutian anda seterusnya. Salah satu aktiviti popular di Tanah Tinggi Cameron atau Cameron Highlands ialah menikmati hidangan air teh dan biskut 'scone'.

Tradisi asli Inggeris ini bermula di zaman penjajahan British apabila para pegawai Inggeris menggunakan lokasi di tanah tinggi ini sebagai tempat berehat yang jauh dari kehangatan cuaca di tanah rendah. Aktiviti memerhati burung dan menyusuri trek di hutan juga amat popular di kalangan pelawat di sini.
.

Tanah Tinggi Cameron yang terletak 1,500 meter dari aras laut mempunyai beberapa buah pekan kecil seperti Ringlet, Tanah Rata, Brinchang, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja. Tempat ini juga mudah dikunjungi.
.

Anda boleh tiba di Tanah Tinggi Cameron kurang dari sejam perjalanan melalui Lebuhraya Utara-Selatan atau kira-kira 3 1/2 jam perjalanan sekiranya anda memandu dari Kuala Lumpur.


pulau tioman

Pulau Tioman merupakan destinasi percutian yang paling mempesona di Laut China Selatan, terletak kira-kira 56km dari pantai negeri Pahang. Tersohor sebagai salah sebuah destinasi percutian pulau yang terhebat di dunia, Pulau Tioman pernah menjadi lokasi penggambaran filem muzikal Hollywood, 'South Pacific' pada tahun 1959.

Menurut cerita legenda, pulau ini merupakan tempat tinggal puteri naga dongengan. Perairan yang suam dan jarak penglihatan yang tinggi di bawah laut menjadikan Pulau Tioman destinasi popular di kalangan penyelam. Saksikan pemandangan yang mengagumkan termasuk karang lembut Gorgonian, karang Staghorn, 'nudibranch' dan pelbagai bentuk hidupan laut yang indah. Penyelam berpeluang berenang di sisiikan Napoleon Wrasse yang besar, ikan Golden Striped Trevally, Bumphead Parrotfish dan kumpulan ikan Fusiliers.

Terdapat beberapa buah perkampungan di sepanjang pantai di sekeliling pulau ini, antaranya Kampung Salang, Tekek, Genting, Paya dan Juara. Setiap kampung menawarkan suasana yang berbeza dan unik. Kawasan pedalaman Pulau Tioman yang berhutan juga menjadi tempat tinggal pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan kecil termasuk rama-rama, mengkarung, rusa dan monyet.

Tumbuhan dan haiwan liar yang terdapat di Pulau Tioman juga pernah dipaparkan di dalam dokumentari National Geographic. Formasi batu granit yang membentuk pulau ini menjadikannya lokasi yang hebat untuk aktiviti memanjat batu. Bagi mereka yang lebih berani, boleh mencuba memanjat tebing Gunung Nenek Semukut (juga bergelar Dragon's Horns). Berjaya Tioman Beach, Golf & Spa Resort menawarkan tempat penginapan yang mewah, berlatarbelakangkan pemandangan bukit-bukau yang beralun.

Jika anda gemar berjalan kaki, anda perlu mencuba laluan merentas pulau yang bermula dari Kampung Tekek di sebelah barat hingga ke Kampung Juara di sebelah Timur. Perjalanan ini boleh disempurnakan dengan mudah dan menawarkan pemandangan pantai serta hutan di kedua-dua belah Pulau Tioman.

Dari Johor Bahru, gunakan Lebuhraya Tebrau dan pandu menuju ke Mersing menerusi Kota Tinggi. Dari Kuala Lumpur, gunakan Lebuhraya Karak menerusi Temerloh, Kuantan, Pekan, Kuala Rompin,Tanjung Gemuk ke Mersing. Anda juga boleh menggunakan Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur menerusi Seremban, Bahau, Muadzam Shah, Kuala Rompin, Tanjung Gemuk ke Mersing.

0 comments: