BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, June 10, 2009

perlis

padang besar
.
Pekan yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand ini merupakan tempat pertemuan warga Thailand dan Malaysia. Ramai warga Malaysia yang berkunjung ke Thailand untuk membeli-belah, berniaga atau bercuti melalui pekan ini dan begitu juga sebaliknya. Stesen keretapi di sini menpunyai platform yang panjang yang dijaga oleh pihak berkuasa Malaysia di satu hujung dan pihak berkuasa Thailand di hujung yang satu lagi. Selain dari pusat pemeriksaan Kastam dan beberapa papan tanda di sini, amat susah untuk membezakan di mana sebenarnya sempadan tersebut kerana kedua-dua negara mempunyai budaya yang hampir sama.
.
.
Berjalan melewati stesen dan landasan keretapi ini akan membawa anda ke Pekan Siam iaitu 'syurga' bagi mereka suka tawar menawar harga barangan. Pekan ini dipenuhi barangan seperti kain, hasil kraftangan, makanan, buah-buahan dan pelbagai cenderahati. Jangan hairan sekiranya penduduk tempatan memanggil Padang Besar 'Padang Besaq' kerana ini adalah mengikut loghat tempatan mereka.
.
.
Cara termudah untuk ke Padang Besar ialah dengan menaiki keretapi malam KTM iaitu Ekspres Langkawi dari stesen Sentral di Kuala Lumpur. Ekspress Langkawi bertolak setiap hari kira-kira jam 8 malam menuju ke Padang Besar dan perjalanan memakan masa selama lebih-kurang 10 jam. Batu Pahat dan Kangar yang terletak hanya 10km dari sini menawarkan hotel bertaraf 2 dan 3-bintang.
.
.
gua kelam

.
Salah satu dari gua yang paling menarik di Malaysia ialah gua yang berukuran 370-meter panjang berhampiran pekan kecil Kaki Bukit yang dinamakan Gua Kelam.
Gua Kelam terletak kira-kira 33km ke utara Kangar iaitu ibu negeri Perlis dan sangat popular kerana laluan guanya yang sangat menarik di mana pelawat boleh memasuki gua ini melalui pintu utama dan keluar di tempat yang lain.

.
.
Satu-satunya jalan untuk ke gua ini ialah melalui sebatang jambatan kayu yang tergantung. Jambatan ini menghubungkan Kaki Bukit dengan Lembah Wan Tangga iaitu sebuah lembah di hujung Gua Kelam. Pada tahun 1935, seorang warga Inggeris menyedari bahawa laluan sungai di sini adalah cara yang baik untuk mengangkut bijih timah dari sebuah lombong berhampiran sungai ini menerusi gua bawah tanah ke Kaki Bukit. Kini pelawat tempatan dan asing boleh berjalan menerusi gua ini menggunakan sebuah laluan kayu yang diterangi cahaya lampu.
.
Anda masih boleh melihat peninggalan operasi melombong di sini. Sambil anda berjalan di dalam gua ini, bunyi air dari anak sungai yang mengalir di bawah tanah berserta bunyi decitan kelawar dan titisan air dari bongkahan stalaktit bergabung membentuk bunyi semulajadi yang unik.

.
.
Bunyi yang agak menyeramkan ini meningkatkan lagi suasana misteri yang terdapat di gua ini yang dahulunya pernah digunakan oleh penduduk zaman purba sebagai tempat tinggal. Pelawat disarankan untuk mendapatkan khidmat pemandu pelancong untuk memasuki gua ini.
Naiki bas yang menuju ke Kaki Bukit dari stesen bas utama di Kangar. Kemudian anda hanya perlu berjalan kaki selama 10 minit sebelum tiba di hadapan pintu gua.
.
.

taman ular dan reptilia
.

Taman Ular dan Reptilia ini dikelilingi Hutan Simpan Bukit Bintang berhampiran Sungai Batu Pahat yang terletak 10 km ke utara bandar Kangar iaitu ibu negeri Perlis. Taman Ular dan Reptilia ini merupakan sebuah pusat kejiselidik yang ditubuhkan bagi menghasilkan penawar bagi bisa ular. Pusat ini merupakan satu-satunya taman ular di Malaysia yang mempunyai lebih dari 20 spesis ular serta buaya dan biawak.
.
.
Taman ini mempunyai ruang sangkar serta ruang pameran tertutup. Pekerja di taman ini boleh membantu anda sekiranya anda ingin mengambil gambar bersama ular yang jinak di sini. Jika anda agak geli memegang ular, kunjungi taman ini pada waktu awal pagi kerana ular yang diletakkan di bahu anda tidak akan bergerak langsung. Mengapa? Ular merupakan haiwan berdarah sejuk dan hanya bergerak aktif setelah badannya panas terkena cahaya matahari. Dari Kangar, ikut papan tanda menghala ke Sungai Batu Pahat. Taman ini terletak hanya kira-kira 10-15 minit perjalanan dari Kangar.
.

selangor


zoo negara
.
Zoo Negara mempunyai pelbagai koleksi haiwan, dan dibuka pertama kali kepada orang ramai pada 1963. Zoo Negara dibuka secara rasminya oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman pada 14 November, 1963. Pada waktu itu, bayaran masuk ialah 50 sen untuk orang dewasa dan 20 sen untuk kanak-kanak.
.
Antara tarikan di zoo tersebut termasuk Akuarium Negara yang dibuka pada 1972. Pada 1984 ia diberi nama sebagai Akuarium Tunku Abdul Rahman. Selain itu terdapat rumah burung, rumah reptilia, pusat monyet, laluan Savannah serta banyak lagi. Terdapat juga zoo malam hari pada hujung minggu. Anda boleh melihat pelbagai jenis haiwan yang hanya aktif pada malam hari.
.

Terdapat lebih 5137 haiwan, iaitu 459 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan. Zoo Negara merangkumi kawasan seluas 110 ekar yang terletak hanya 5 km dari Kuala Lumpur. Jangan lupa untuk bersiar-siar di sekitar zoo, atau anda boleh juga menaiki tren dan menyaksikan pelbagai aksi haiwan di sini!
.
Waktu pembukaan: 9 pagi - 5 petang (hari biasa), 9 pagi - 10.30 malam ( hujung minggu dan cuti umum). (Tertakluk kepada pertukaran). Ambil LRT dan turun di stesyen Wangsa Maju. Naiki teksi untuk ke Zoo Negara.
.
.
institut kajian hutan malaysia [frim]
.
FRIM menawarkan pengalaman kembali-ke-alam-semulajadi dan peninggalan penempatan Orang Asli. Air terjun dan sungai yang mengalir menerusi hutan simpan ini menambahkan lagi suasana tenang di landskap yang kaya ini.



Terdapat empat laluan trek hutan : Jejak Keruing, Jejak Rover, Jejak Engkabang dan Jejak Salleh yang kesemuanya membawa pelancong merentas hutan sekunder yang menakjubkan.
Titian Kanopi yang terletak 30m dari aras tanah menawarkan sudut pandangan yang hebat untuk memerhati burung dan tumbuhan kanopi tropika.


Mereka yang minat mencuba titian kanopi ini harus mengaturnya terlebih dahulu kerana jumlah pelawat yang dibenarkan berjalan di titian kanopi ini setiap hari adalah terhad kepada 250 orang sahaja. Di FRIM, kemudahan perkhemahan disediakan untuk mereka yang ingin bermalam di hutan ini tetapi mereka perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu.



FRIM terletak di Lebuhraya Selayang-Kepong kira-kira 16km ke barat-laut Kuala Lumpur. Pelawat boleh berkhemah di sini setelah memperolehi kebenaran dari Pejabat FRIM. Terdapat juga bilik untuk disewa di perkarangan FRIM.


masjid salahuddin abdul aziz shah

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam adalah salah sebuah bangunan yang paling mengagumkan di negara ini. Bangunan yang dikenali juga sebagai 'Masjid Biru' ini mempunyai menara tertinggi di dunia. Apabila pelancong menghampiri masjid ini, mereka dapat melihat kubah birunya yang besar.


Bahagian bibir kubah serta ruang dewan sembahanyang utama dipenuh hiasan seni kaligrafi Islam manakala seni bina ruang dalaman pula mempamerkan ciri-ciri rekabentuk etnik Melayu. Cahaya matahari yang memancar masuk menerusi tingkap kaca masjid yang berwarna biru memandikan ruang dalam masjid dengan warna kebiruan yang menenangkan.
.
Di luar Masjid Biru terdapat Taman Kesenian Islam iaitu sebuah taman yang menarik dengan landskap indah sebuah syurga yang diilhamkan dari Al-Quran. Kawasannya merangkumi keluasan 14 hektar dan mengandungi sembilan buah galeri pameran yang mempamerkan koleksi hasil kesenian Islam seperti hasil seni khat, ukiran, lukisan dan seni bina. Kadangkala, pertunjukan kesenian Islam juga diadakan di sini. Kubah besar yang berwarna biru yang membawa gelaran 'Masjid Biru' diperbuat daripada aluminium!



Gunakan perkhidmatan keretapi Komuter yang kerap berulang-alik dari KL ke stesen Shah Alam. Dari situ, naiki teksi untuk perjalanan singkat ke Masjid Biru yang dikenali sebagai Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah oleh penduduk tempatan. Bandar Shah Alam mempunyai beberapa buah hotel bertaraf 3 hingga 5-bintang. Destinasi ini terletak hanya 40 minit perjalanan dari pusat bandar Kuala Lumpur di mana terdapat pelbagai pilihan tempat penginapan.


litar lumba antarabangsa sepang


Memandangkan minat dunia yang semakin mendalam di dalam sukan bermotor, Malaysia kini mempunyai sebuah litar Formula 1 yang mencabar yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.
.
.
Litar F1 Sepang mempunyai dua lapis anjung penonton yang boleh menampung 30,000 orang hadirin serta anjung utama yang boleh memuatkan 100,000 orang hadirin. Sejak menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 buat kali pertama pada tahun 1999, Litar F1 Sepang telah menjadi salah sebuah litar yang paling terkenal di kalangan pemandu-pemandu F1. Litar sepanjang 5.542km yang mengagumkan ini memaparkan 15 selekoh dan 8 jalan lurus. Perlumbaan Malaysia F1 Grand Prix Petronas mengumpulkan pemandu-pemandu terbaik dunia untuk bertanding di litar ini. Pastikan anda membawa losyen pelindung sinar matahari, air minuman dan topi!
.
Dari Kuala Lumpur (KL), gunakan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Persimpangan KLIA. Perjalanan dari KL ke Litar Lumba F1 Sepang memakan masa lebih-kurang 45 minit. Selepas anda membayar tol, ambil susur keluar yang pertama di sebelah kiri jalan. Anda akan melihat sebuah masjid di sebelah kiri anda. Anda akan tiba di sebuah bulatan di mana anda perlu mengambil jalan terus di hadapan. Kemudian anda akan melepasi sebuah set lampu trafik. Belok ke susur keluar yang pertama di sebelah kiri selepas lampu trafik tersebut (kira-kira 8km selepas lampu trafik tersebut). Dari situ, anda akan nampak banyak papan-papan tanda yang menunjukkan jalan ke arah litar lumba ini.
.


Dari Stesen Sentral Kuala Lumpur, naiki keretapi Komuter menuju ke Nilai atau keretapi ERL (Express Rail Link) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dari Nilai dan KLIA, anda boleh menaiki teksi atau Sepang Omnibus untuk pergi ke litar ini iaitu 10 minit perjalanan dari KLIA.

Kuala Lumpur - pengkalan anda untuk destinasi ini - menawarkan pelbagai pilihan tempat penginapan dari asraman pengembara yang ringkas hingga hotel mewah bertaraf 5-bintang. Hotel Pan Pacific KLIA terletak hanya 10 minit dari litar lumba ini.

kuala lumpur

tugu negara
.
Di perkarangan Tugu Negara tersergam sebuah arca tugu peringatan gangsa yang terbesar di dunia. Arca ini dicipta pada tahun 1966 oleh Felix de Weldon iaitu seorang pereka terkenal yang juga telah mencipta tugu peringatan Iwo Jima di Washington DC. Tujuh orang askar yang membentuk tugu peringatan ini melambangkan ketaatan, pengorbanan dan kerjasama penduduk Malaysia. Tugu ini didirikan bagi memperingati jasa mereka yang terlibat (dan terkorban) di dalam Perang Dunia Kedua dan sewaktu Darudat di Malaya. Tugu ini terletak di lokasi yang tenteram, di kelilingi dengan kolam air pancut yang dihiasi arca bunga teratai yang diperbuat dari pewter.


Bersebelahan Tugu Negara terletak Taman ASEAN dan Memorial Tun Razak di mana tersimpannya barang-barang peninggalan Perdana Menteri Malaysia yang kedua iaitu allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Tugu Negara paling sesuai dilawati di sebelah petang kerana tugu tersebut terletak di kawasan terbuka. Pelawat juga disyorkan melawat Taman Tasik Perdana yang berdekatan. Tugu Negara terletak bersebelahan Taman Tasik Perdana di Jalan Parlimen.Kuala Lumpur menawarkan pelbagai pilihan tempat penginapan dari asrama pengembara yang ringkas hingga ke hotel mewah bertaraf 5-bintang.





pusat perfileman finas
.
Galeri filem unik ini menceritakan kisah perkembangan industri perfileman negara dari 1930-an hingga ke hari ini. Galeri yang dibuka pada 2007 ini memberi penghormatan kepada aktivis filem sejak kegemilangan Studio Jalan Ampas, Studio Jalan Katong dan Studio Merdeka. Antara barangan yang dipamerkan termasuk majalah filem lama, peralatan membuat filem selain filem menunjukkan perkembangan industri filem di Malaysia.


Terdapat juga pusat sumber dan teater mini yang menayangkan filem klasik Melayu.
Marilah ke galeri perfileman ini untuk menyaksikan perkembangan dunia perfileman yang menarik! Waktu pembukaan: Selasa - Ahad, 9 pagi hingga 5 petang. Masuk adalah percuma

menara kuala lumpur


Menara KL yang mempunyai ketinggian 421 meter merupakan menara komunikasi yang keempat tertinggi di dunia dan salah satu dari tanda asas ibukota Kuala Lumpur yang terkenal.
Anda boleh menaiki lif berkelajuan tinggi di menara ini dan singgah di pelantar pemerhatian di menara ini yang terletak di ketinggian 335 meter untuk melihat pemandangan indah ibukota Kuala Lumpur. Dari sini, landskap ibukota yang dipenuhi dengan bangunan-bangunan pencakar langit dan kawasan-kawasan hijau boleh dilihat secara keseluruhan.



Hutan Lipur Bukit Nanas yang terletak di kaki Menara KL merupakan salah sebuah 'kawasan hijau' ibukota KL. Kawasan hutan hujan tua yang kecil ini menawarkan laluan-laluan siar bagi pejalan kaki dan tumbuhan serta haiwan yang hanya terdapat di Malaysia. Di sini, anda pasti terpegun dengan kehadiran rama-rama beraneka warna, serangga, tupai, burung eksotik dan juga monyet di dalam habitat semulajadi mereka - semuanya di tengah-tengah bandar berhampiran kesibukan jalanraya!
.
Antara tarikan terbaru di Menara KL dan Bukit Nanas ialah aktiviti sukan lasak terjun 'bungee' yang dinamakan 'The G-Force'. Pengalaman anda akan dirakamkan dan diberikan kepada anda sebagai kenang-kenangan - Bukan untuk mereka yang lemah semangat! Di bahagian atas Menara KL terdapat restoran berputar Seri Angkasa di mana anda boleh menjamu selera dengan hidangan bufet sambil menikmati pemandangan 360 darjah kaki langit ibukota KL.
.
Menara KL terletak agak jauh di atas bukit. Jika anda tidak gemar berjalan kaki dalam cuaca panas, anda disarankan menaiki teksi untuk ke sini. Persembahan muzik tradisional dan kontemporari sering diadakan di sini dan pastikan anda berhubung dengan pusat maklumat Menara untuk mengetahui jadual acara terkini sebelum anda pergi ke sana.

Cara paling mudah untuk ke Hutan Lipur Bukit Nanas ialah dengan menaiki perkhidmatan pengangkutan KL Monorail atau PUTRA LRT. Stesen terdekat bagi laluan PUTRA LRT ialah stesen Dang Wangi. Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan KL Monorail dan turun di stesen Bukit Nanas. Dari situ, anda hanya perlu menaiki teksi atau berjalan kaki hingga sampai ke Jalan Sultan Ismail dan belok ke kanan di Jalan P. Ramlee, dan kemudian belok ke kanan sekali lagi untuk menaiki bukit. Pintu masuk Menara KL terletak di sebelah kiri anda.
.
.
menara berkembar petronas
.
Menara Berkembar Petronas, bangunan 88-tingkat yang juga dikenali sebagai KLCC merupakan bangunan berkembar yang tertinggi di dunia. Menara kebanggaan Kuala Lumpur yang terletak di tengah-tengah pusat bandar ini mengandungi kompleks pejabat, dewan konvensyen, sebuah taman yang luas dan kompleks membeli-belah.
.
Seni bina menara berkembar ini direka oleh arkitek Amerika yang berasal dari Argentina iaitu Cesar Pelli yang mendapat ilham rekaan dari corak geometrik yang sering digunakan di dalam senibina Islam. Taman KLCC merupakan sebuah taman yang luas dengan landskap yang direka indah terhampar di sebelah menara senibina yang unggul ini. Tarikan-tarikan lain yang terdapat berdekatan termasuk kompleks membeli-belah Suria KLCC, Dewan Filharmonik Petronas, Pusat Sains Petronas, Galeri Seni Petronas, Aquaria Oceanarium dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur .


Jangan ketinggalan melawat jambatan udara (skybridge) yang dibuka kepada pelawat mulai jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang dari hari Selasa hingga Ahad (ditutup pada hari Isnin). Menara Berkembar Petronas terletak di antara Jalan Ampang dan Jalan Raja Chulan. Hotel Mandarin Oriental dan The Ascott juga terletak berhampiran dengan menara ini. Stesen KLCC dihubungkan oleh laluan keretapi PUTRA LRT.


negeri sembilan


homestay kampung pelegong
.
Anda berpeluang ke kampung Melayu tradisional menerusi program Homestay Kampung Pelegong di Negeri Sembilan. Berkongsi juga keramahan dan kemesraan tuan rumah anda dan menjadi salah seorang ahli keluarga mereka sambil mengambil bahagian di dalam aktiviti harian mereka. Mulakan pengalaman tulen hidup di kampung. Kedengaran bunyi ayam berkokok menyambut hari baru diwaktu subuh, nikmati udara segar yang nyaman dan bersedialah untuk mengalami saat-saat indah sepanjang lawatan anda di sini.


Kumpul sendiri telur dari reban ayam, belajar menoreh getah, nikmati air yang sejuk nyaman ketika mandi di sungai sebelum cuba memancing ikan atau menbuat kuih tradisional.
Pengalaman-pengalaman yang menanti anda di sini juga akan memberikan anda kefahaman mengenai asal-usul kampung serta kekayaan sejarahnya. Hargai industri-industri kecil daya usaha penduduk kampung yang rajin serta kehalusan barangan yang dihasilkan mereka. Kagumi ketangkasan jari jemari Pak Adul penganyam tikar, juga lelaki dan wanita yang pakar menghasilkan kraftangan yang cantik-cantik belaka.

Jika anda gemarkan aktiviti luar, anda pasti suka berjalan mengikuti trek ke hutan hujan tebal berhampiran serta sungai jernih dan air terjun yang ada di situ.
Kemudian pulang ke perkampungan ini untuk menikmati urutan tradisional, lelaki mahupun wanita, bagi menghilangkan penat lelah.


Cara terbaik untuk menggunakan sepenuhnya masa anda di homestay ini ialah dengan mempelajari beberapa patah perkataan dialek mereka. Kampong Pelegong dihubungi dengan rangkaian jalanraya yang baik. Kampung ini mudah dikunjungi di mana hanya 15 km dari bandar Seremban, 30 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, dan 55 km dari ibunegara, Kuala Lumpur. Dalam program homestay, anda akan menginap di rumah 'keluarga angkat' anda yang merupakan sebuah rumah kampung biasa.
.
.
jeram gading

Landskap indah hutan hujan tropika, sungai dan air terjun, berlatarbelakangkan gunung dan bukit di sebelah timur serta pantai berpasir putih di sebelah barat menggambarkan bentuk mukabumi Negeri Sembilan. Topografi negeri ini agak berbukit kerana kedudukannya di hujung Banjaran Titiwangsa yang mengunjur dari utara Semenanjung Malaysia. Beberapa kawasan rekreasi telah dikenalpasti di sini termasuk yang paling utama - Taman Negara.

Nama tempat ini dipercayai berasal dari kehadiran sekumpulan gajah di kawasan ini - perkataan 'gading' itu merujuk kepada gading gajah. Tarikan utama di Jeram Gading ialah air terjunnya yang mengalir menerusi pokok-pokok dan bongkah batu telah menghasilkan fenomena indah di kaki air terjun sebelum mengalir ketakungan air yang tenang.
.

Walaupun kawasan ini tidak sesuai untuk aktiviti berkayak namun ianya merupakan tempat yang sesuai untuk berkelah bersama keluarga. Bermandi-manda dengan ahli keluarga anda di dalam air yang jernih dan sejuk serta nikmati bunyi air sungai yang sungguh menenangkan. Jeram Gading terletak 23 km dari Kuala Klawang di dalam daerah Kenaboi. Jika anda memandu kereta ke sini, anda dapat melihat dusun buah-buahan di kiri-kanan jalan yang dimiliki oleh penduduk kampung berdekatan. Kini Seremban menjadi sebuah bandar satelit bagi ibukota Kuala Lumpur. Pelbagai jenis tempat penginapan ditawarkan di sini dari asrama pengembara yang ringkas hingga hotel mewah bertaraf 5-bintang
.
.
muzium tentera darat

Muzium Tentera Darat, Port Dickson akan membawa anda menyingkap kembali pelbagai khazanah, koleksi dan artifak yang pernah menjadi saksi sebuah perjuangan demi mempertahankan kedaulatan negara tercinta. Muzium Tentera Darat ini menyediakan sebuah pameran yang berkonsepkan informatif dan interaktif sesuai dengan aspirasi masa kini.

Muzium ini telah dianugerahkan dengan Anugerah Merit Kategori Pelancongan Terbaik (Tarikan Warisan) Anugerah Pelancongan Tahun 2005/2006 oleh Tourism Malaysia. Saksikan persembahan audio visual 'Pepper Ghost' yang pertama seumpamanya di Malaysia dan rasai pengalaman di dalam suasana malam di pelabuhan Kota Melaka serta terowong bawah tanah Parti Komunis Malaya. Waktu Lawatan : Rabu - Ahad (10.00 pagi - 5.00 petang). Ditutup pada hari Isnin dan Selasa.
.
Anda boleh menaiki bas dari stesen bas Terminal Satu Seremban menuju ke bandar Port Dickson, kemudian menaiki sebuah bas tempatan di mana pemandu boleh menurunkan anda di muzium tersebut. Perkhidmatan teksi juga boleh didapati dari pusat bandar. Terdapat beberapa buah calet di tepi pantai dan juga hotel yang agak mewah di bandar Port Dickson.


melaka

.
taman mini malaysia
.
Taman Mini Malaysia terletak beberapa kilometer di pinggir bandar Melaka berdekatan pekan Ayer Keroh. Sekiranya anda berminat dengan senibina dan cara hidup tradisional, inilah tempat yang paling sesuai untuk anda terokai. Setiap buah rumah di sini mewakilkan salah satu gaya senibina dari 13 buah negeri di Malaysia dan 12 buah rumah ASEAN yang dihiasi dengan pelbagai barangan, hasil seni dan kraftangan yang menggambarkan budaya di setiap negeri tersebut.

Di dalam setiap buah rumah di sini, anda akan dapat melihat pelbagai seni kraftangan tulen yang berasal dari negeri atau daerah berkenaan. Rumah-rumah tradisional yang dibina dengan tiang kayu ini turut mempamerkan patung yang memakai baju Melayu tradisional gaya khusus bagi negeri berkenaan. Lain-lain tarikan di taman ini termasuk pertunjukan kebudayaan dan permainan tradisional yang diadakan pada setiap minggu. Taman ini juga menawarkan kemudahan untuk pakej seminar dan mesyuarat dengan harga yang berpatutan. Selain itu, kemudahan calet dan dormitori dengan kemudahan kolam renang juga disediakan untuk keselesaan pelancong. Aktiviti kerja berpasukan dan bengkel tarian asas juga boleh diadakan di sini.
.
Secara ringkas, taman ini memberi peluang kepada pelawat untuk melihat kesemua senibina dan warisan Malaysia dalam satu lawatan sahaja. Taman ini juga adalah tempat yang sesuai untuk berehat yang jauh dari kesibukan bandaraya.



Untuk menjimatkan wang dan masa, anda disarankan melawat taman ini di dalam perjalanan menuju ke bandaraya Melaka atau sewaktu pulang. Ambil susur keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan di persimpangan Ayer Keroh. Pandu terus hingga anda melihat papan tanda Taman Mini Malaysia & Mini ASEAN.Taman Mini Malaysia & Mini ASEAN ini juga menawarkan kemudahan penginapan calet yang berkonsepkan senibina dari pelbagai negara dengan kadar harga yang berpatutan.
.
.
bukit st. paul
.
Pihak Portugis telah menjajah Melaka dari tahun 1511 hingga 1641. Perkara pertama yang mereka lakukan ialah membina sebuah kubu berhampiran sungai yang dinamakan A'Famosa.
Kubu A'Famosa memainkan peranan yang amat penting bagi pihak Portugis bagi mengekalkan kuasa mereka di Timur Jauh ketika itu kerana Melaka adalah pusat perbalahan antara kuasa-kuasa besar dan sering diancam serangan.


Perkarangan kubu itu pada masa dahulu mengandungi rumah, tempat menyimpan makanan, istana dan tempat mesyuarat bagi Majlis Portugis dan wakil lima buah gereja.
Serangan pihak Belanda yang berterusan selama tujuh bulan lamanya hampir memusnahkan keseluruhan kubu tersebut di mana hanya gerbang pintu masuk dan bangunan gereja di atas bukit sahaja yang tinggal.
.
Pergilah berjalan-jalan mendaki Bukit St. Paul selepas pukul 3 petang ketika cuaca lebih nyaman dan bersiar-siar di bawah pokok-pokok besar dan melihat peninggalan sejarah yang dapat dilihat hingga hari ini. Dapat anda bayangkan kegemilangan dan penderitaan yang melanda pihak Portugis di sini pada suatu waktu dahulu.


Tidak menjadi kesukaran kepada anda untuk datang ke Bukit St. Paul dari tempat penginapan kerana ianya terletak di tengah-tengah bandar Melaka. Melaka menawarkan pelbagai pilihan tempat penginapan samada asrama pengembara yang ringkas atau hotel mewah bertaraf 5-bintang.


the stadhuys
.
Bangunan Stadhuys yang di bina pada tahun 1650 sebagai kediaman rasmi Gabenor Belanda dan para pegawainya merupakan contoh terbaik gaya senibina Belanda ketika itu.
Ianya dipercayai merupakan bangunan Belanda yang tertua di rantau Timur.



Bangunan yang menggambarkan contoh terbaik senibina Belanda di zaman itu kini mengandungi Muzium Sejarah dan Muzium Etnografi. Terdapat pameran pakaian pengantin tradisional serta bahan peninggalan sejarah Melaka 400 tahun yang lalu. Kedua-dua muzium ini diatur dengan baik dan memaparkan penerangan terperinci mengenai cara bagaimana pakaian-pakaian dan bahan-bahan peninggalan ini memainkan peranan di zaman dahulu.


Di dataran berhadapan dengan bangunan Stadhuys seringkali kelihatan penarik-penarik beca tua yang peramah yang sedang menunggu pelanggan dengan beca mereka yang dihias cantik. Anda berpeluang mengambil gambar bersama-sama beca mereka dengan sedikit bayaran. Stadhuys ditutup setiap hari Isnin. Stadhuys terletak di tengah-tengah bandar lama Melaka. Jika anda berada di Jalan Kota, anda tentu terjumpa bangunan besar yang berwarna merah ini.Melaka menawarkan pilihan berbagai-bagai jenis tempat penginapan dari asrama pengembara yang ringkas hingga hotel mewah bertaraf 5-bintang.

johor

pulau rawa
.
Pulau Rawa yang terletak 16 km dari pantai Mersing terkenal dengan pasirnya yang putih bersih, pepohon kelapa yang tinggi melampai dan terumbu karang yang penuh dengan ikan beraneka warna serta hidupan laut yang lain. Pulau yang aman hanya mempunyai dua pilihan tempat tinggal. Calet kayu yang terselindung di antara pepohon kelapa mengekalkan suasana semulajadi di sini dan menyerlahkan lagi jolokan pulau ini sebagai destinasi percutian yang aman dan mempesona.
.
.
Lautan di sini berubah menjadi bergelombang dan suram ketika musim hujan di pantai timur (November - Mac). Oleh itu, anda disarankan merancang percutian anda ke sini di luar musim hujan. Dari pusat bandar Johor Bahru, gunakan jalan raya Johor Bahru - Kota Tinggi dan sambung perjalanan menerusi jalan raya Kota Tinggi - Mersing (Lebuhraya 3). Dari Lebuhraya Utara-Selatan, ambil jalan susur keluar Ayer Hitam (Persimpangan 244) dan teruskan perjalanan menuju Kluang, seterusnya ikut jalan raya Kluang - Jemaluang (Lebuhraya 50). Selepas pekan Jemaluang, masuk ke jalan raya Kota Tinggi - Mersing, menghala ke Mersing. Perhatikan papan-papan tanda yang akan menunjukkan arah ke Jeti Mersing.
.
Rawa Safaris' mempunyai 63 buah calet dan banglo serta sebuah restoran dan pub. Le Club Rawa mempunyai pantai persendirian dan beberapa buah calet yang terlindung di pinggir hutan berhadapan laut yang membiru.
.
.
taman negara tanjung piai
.
Tanjung Piai merupakan kawasan semulajadi yang dilindungi di mana bumi, laut, tumbuhan dan haiwan wujud dalam harmoni, tanpa gangguan manusia. Taman ini menjadi tempat kediaman pelbagai jenis spesis unggas dan hidupan paya bakau yang lain seperti ketam nipah, ikan tembakul serta kera pemangsa ketam. Terletak 90 km ke selatan pusat bandar Johor Bahru, Tanjung Piai juga merupakan Taman Negara yang membolehkan para pelawat memerhati hidupan liar di paya bakau di dalam habitat semulajadinya.

Bayaran masuk adalah RM3.00 bagi warga Malaysia dan RM5.00 bagi pelancong asing. Bayaran masuk boleh dibayar di kompleks pelawat Tanjung Piai. Laluan-laluan khas telah dibina melalui hutan paya bakau ini agar pelawat boleh menikmati pemandangan paya bakau dengan selesa. Taman yang aman tenteram ini juga telah menjadi salah sebuah destinasi perkhemahan yang popular sejak beberapa tahun yang lalu. Taman ini terletak di hujung benua Asia yang paling ke selatan.

Dari Kuala Lumpur, masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) menuju selatan ke Machap. Ambil susur keluar Simpang Renggam (Persimpangan 247) ke lebuhraya yang menghala ke Tanjung Piai menerusi Benut-Pontian-Kukup (Lebuhraya 96, Lebuhraya 5, Lebuhraya 95). Sampai sahaja di Kukup, ikut arahan papan tanda yang menunjukkan jalan ke Tanjung Piai


Taman ini telah mejadi sebuah destinasi perkhemahan yang popular sejak beberapa tahun lalu. Tetapi, jika anda tidak gemar berkhemah, anda boleh melawat Tanjung Piai tanpa perlu bermalam di sini. Anda boleh memilih untuk bermalam di salah sebuah hotel atau tempat penginapan lain yang lebih selesa di bandar Johor Bahru.
.
.
gunung ledang
.
Diselubungi legenda misteri dan cerita dongeng, Gunung Ledang terus menarik minat penduduk tempatan dan para pelancong. Menurut legenda Puteri Gunung Ledang, Sultan Melaka ketika itu berkenan untuk mengahwini Puteri tersebut tetapi oleh kerana Puteri tidak mahu berkahwin dengan Sultan, dia telah meminta Sultan menyediakan hantaran yang sukar disediakan iaitu tujuh balang airmata dara, tujuh dulang hati nyamuk, dan tujuh mangkuk darah anak Sultan itu sendiri.
.
Apabila Sultan tidak dapat menyediakan hantaran tersebut, Puteri tersebut melarikan diri ke Gunung Ledang. Ada yang mempercayai Puteri tersebut masih hidup hingga ke hari ini dan tinggal di sebuah gua di gunung ini. Gunung Ledang amat sesuai sebagai destinasi aktiviti luar dengan jejak hutan yang mencabar, air terjun yang jernih dan nyaman, serta tumbuhan dan haiwan yang eksotik termasuk pelbagai spesis unggas yang menarik.
.
Dari kawasan puncak gunung yang terletak di ketinggian 1,276 m dari paras laut dan mempunyai permukaan yang agak mendatar, pelancong boleh menikmati pemandangan Selat Melaka hingga ke pantai Sumatera sekiranya cuaca cerah. Air Terjun Sagil yang terletak di kaki gunung ini juga merupakan tempat berkelah yang popular.


Di sini terdapat sebatang laluan hutan dan jalan tidak berturap yang menghala ke puncak gunung. Jika anda mendaki ke puncak, anda akan menemui air terjun yang segar tetapi anda disarankan mengatur supaya ada orang lain menanti anda di puncak. Dari Lebuhraya Utara-Selatan, susur keluar terletak 25 km selepas Air Keroh. Hala menuju ke Tangkak. Terus memandu sepanjang Jalanraya 23 sejauh 6 km lagi, melewati pekan Sagil, sebelum belok ke kanan memasuki jalan ladang kelapa sawit dan terus memandu sejauh 1 km lagi. Dari sini, jalan untuk sampai ke kaki Gunung Ledang atau Mount Ophir, boleh kelihatan.


Terdapat sebuah resort yang menarik di kaki Gunung Ledang, begitu juga tempat penginapan yang murah di pekan Tangkak yang tidak jauh dari sini. Anda juga boleh berkhemah di tapak perkhemahan yang terdapat di sini.

kelantan

pantai bisikan bayu
.
Pantai Bisikan Bayu - yang juga dikenali dengan nama Pantai Dalam Rhu - terletak hanya 50 km ke selatan ibunegeri Kelantan, iaitu Kota Bharu. Angin lembut bertiup di sepanjang pantai yang dipenuhi deretan pepohon Rhu di Kampung Semarak menyebabkan pepohon ini bergerisik seolah-olah bisikan yang menenteramkan.
.

Aktiviti meluncur papan air sesuai dijalankan pada masa-masa tertentu dan peluncur papan air boleh menemui keadaan laut dan cuaca yang sesuai sewaktu musim hujan di sini dari bulan November hingga April. Tetapi tiada apa yang lebih menenangkan dari bersantai di tepi pantai di bawah bayang pepohon Rhu yang bergerisik menikmati pemandangan laut dan air kelapa muda yang segar. Nyaman sungguh.
.
Pantai yang indah ini sangat terkenal di kalangan penduduk tempatan dan pelancong di sepanjang tahun, tetapi anda perlu berhati-hati sewaktu musim hujan kerana arus laut semakin bergelora dan ombak semakin tinggi pada waktu ini. Pandu sejauh 50 km di sepanjang lebuhraya negeri di selatan Kota Bahru hingga anda tiba ke pekan Pasir Putih yang mendapat namanya dari warna pasir yang putih di sini. Pantai Bisikan Bayu terletak tidak jauh dari pekan ini.
.
.
pasar besar siti khadijah
.
Cara bijak untuk meneliti kehidupan di sebuah bandar di Malaysia ialah dengan melawat pasar tempatannya yang menjadi nadi kehidupan setiap bandar. Pasar Siti Khadijah dinamakan sempena isteri pertama Nabi Muhammad yang merupakan seorang ahli perniagaan. Nama yang sesuai untuk sebuah pasar yang mana penjaja di dalamnya kebanyakannya terdiri dari kaum wanita.


Terdapat sesuatu untuk semua orang yang berkunjung ke pasar ini dari hasil tanaman segar hingga kraftangan dan kuih-muih tradisional. Ianya juga menggambarkan budaya dan cara hidup di Kelantan yang penuh dengan warna, bau dan bunyi yang unik milik penduduk di situ. Pelawat digalakkan mengambil gambar di sini tetapi sekiranya anda ingin mengambil gambar potret pastikan anda meminta kebenaran dari empunya badan terlebih dahulu.

Tuesday, June 9, 2009

terengganu

pulau kapas
.
Pulau Kapas yang terletak kira-kria 6km dari pinggir pantai Marang ialah sebuah pulau yang tersohor dengan air lautnya yang jernih, pantai berpasir putih dan lambaian pohon kelapa yang gemalai. Pulau ini yang agak terpencil, jauh dari kesibukan di tanah besar merupakan destinasi yang paling sesuai untuk mereka yang mencari tempat untuk ketenangan dan berehat. Pelbagai jenis batu karang lembut dan keras, ikan, penyu dan hidupan laut lain yang menarik menjadikannya destinasi wajib bagi penyelam skuba dan perenang snokel yang arif.
.
Suasana pulau yang santai ini memberi keselesaan kepada pelawat untuk berehat di sini. Selain itu terdapat pelbagai aktiviti di sini untuk memenuhi masa lapang anda. Pilih sahaja kesukaan anda : menyelam, berenang, snokel, luncur papan air, kayak, menaiki bot atau memancing.
Pulau Kapas sukar dikunjungi sewaktu musim hujan di pantai timur (November - Mac).
.
Perjalanan bot dari Marang ke Pulau Kapas memakan masa selama 30 minit. Pulau ini mempunyai resort yang selesa tetapi pelawat disarankan menempahnya sebagai sebahagian dari pakej percutian menyelam yang merangkumi makanan, sesi menyelam dan tempat penginapan.

rantau abang


Satu lagi tempat yang sepatutnya termasuk di dalam jadual percutian pelancong ialah Rantau Abang yang terletak 60km ke selatan bandar Kuala Terengganu. Di sini, pelawat boleh menunggu dari tengah malam hingga ke subuh bagi melihat penyu belimbing yang besar naik ke darat untuk bertelur. Penyu-penyu ini merangkak perlahan-lahan di pasir putih untuk bertelur, meninggalkan gambaran yang tidak mungkin dapat dilupakan pelawat.

Penyu raksasa ini boleh membesar sehingga 2.5m panjang dan kadangkala seberat lebih dari 375kg. Rantau Abang ialah salah satu dari enam lokasi di dunia yang dikunjungi oleh penyu-penyu ini dari bulan Mei hingga September. Penyu dan telur penyu ini adalah dilindungi. Telur penyu dikesan dan dialihkan oleh ahli sains ke pusat inkubator di mana persekitarannya akan dikawal bagi menentukan jantina penyu yang menetas sebagai usaha agar spesis ini terus wujud.

Setibanya anda di pantai ini, kunjungi Pusat Maklumat Penyu di sini bagi mempelajari lebih lanjut mengenai haiwan ini dan mengetahui tempat terbaik untuk melihat penyu bertelur. Perkhidmatan bas dari pekan Marang ke Rantau Abang disediakan setiap setengah jam.


pulau redang
.
Pulau Redang yang terletak 45km dari pinggir pantai Kuala Terengganu merupakan pulau terbesar dari gugusan sembilan buah pulau yang terlindung di Laut China Selatan.
Pulau ini menawarkan air laut yang jernih dan beraneka tapak selaman skuba bagi penggemar aktiviti menyelam. Perairan yang terlindung di sekitar Taman Laut Pulau Redang ini kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut yang cantik dan menarik.





Di waktu tengahari, apabila matahari bersinar terang menebusi air laut, kelihatan jelas terumbu karang yang beraneka jenis, anemone, dan ikan-ikan yang berwarna-warni. Perairan di sekitar Pulau Redang juga mengandungi dua bangkai kapal karam : Kapal H.M.S. Prince of Wales dan H.M.S. Repulse yang karam di sini sewaktu Perang Dunia Kedua yang membolehkan tentera Jepun menakluki Malaya.



Pulau yang indah ini amat sesuai untuk aktiviti snokel, berenang, menyelam skuba, merentas hutan, menaiki bot dan menaiki kanu. Oleh kerana Pulau Redang telah diwartakan sebagai Taman Laut, aktiviti memancing tidak dibenarkan dalam kawasan lingkungan sejauh 3.2km dari pulau. Pelawat juga dilarang mengumpul batu karang atau sebarang hidupan laut yang lain. Berjaya Resort di sini menawarkan kemudahan padang golf dengan persekitaran yang mempesona.

.
Pulau Redang adalah lebih besar dan mempunyai lebih banyak aktiviti berbanding dengan kedua-dua Pulau Perhentian yang berdekatan. Mulakan penerokaan pulau-pulau di sini dengan menaiki bot di salah satu jeti di Kuala Terengganu dan Merang. Perjalanan bot ke Pulau Redang memakan masa selama satu jam dari Kuala Terengganu dan 50 minit dari Merang.

Thursday, June 4, 2009

pulau pinang

kota cornwallis
.
Fort Cornwallis yang dinamakan sempena Gabenor Charles Cornwallis yang berkuasa di Bengal di penghujung dekad 1700 merupakan sebuah tapak bersejarah yang sangat menarik di Georgetown. Kubu ini terletak berhampiran dengan Esplanade di sebelah Menara Jam Peringatan Victoria.
.

Dinding kubu setinggi 10 kaki tersusun mengikut bentuk bintang. Anda masih boleh melihat sebahagian dari bangunan asal yang dibina lebih sekurun yang lalu, termasuk gereja, penjara, tempat menyimpan peluru dan senjata, menara api yang digunakan suatu masa dahulu bagi menghantar isyarat kepada kapal-kapal yang belayar di waktu malam.

Selain itu, terdapat tiang bendera asal dan beberapa biji meriam yang mana salah-satunya merupakan meriam Belanda yang diberi gelaran Seri Rambai yang bertarikh 1603. Perkara penting mengenai meriam Seri Rambai ini ialah kepercayaan penduduk tempatan bahawa meriam ini mempunyai pengaruh ke atas kesuburan wanita dalam mengandungkan anak. Kini, tapak bersejarah yang dikendalikan oleh pihak persendirian ini sangat popular di kalangan pelawat.

Ianya dilengkapi dengan kiosk maklumat pelancongan, ruang pentas terbuka, galeri sejarah, pusat cenderamata, dan pemandu pelawat yang boleh membawa anda melawat di perkarangan kubu tersebut dan memberikan anda gambaran zaman silam kubu ini.
.
Fort Cornwallis menawarkan khidmat pemandu pelawat yang peramah dan berpengetahuan tinggi yang berpakaian seragam ala tentera kolonial yang berwarna merah boleh membawa anda di sekitar perkarangan kubu tersebut dengan bayaran yang rendah. Sekiranya anda tidak mempunyai sebarang buku panduan atau pengetahuan mengenai latarbelakang kubu ini, pemandu pelawat yang ada di sini sememangnya berbaloi untuk anda gunakan. Kubu ini dibuka untuk lawatan dari pukul 8.30 pagi hingga pukul 6.30 petang.

batu feringghi


Batu Ferringhi merupakan pantai yang popular di Pulau Pinang terletak di sepanjang jalan pantai di barat-laut bandar Georgetown dan dipenuhi deretan hotel-hotel mewah bertaraf antarabangsa. Berehat sambil bermandikan sinaran matahari atau cuba aktiviti-aktiviti tepi pantai yang menyeronokkan seperti aktiviti luncur papan layar atau berkayak.
Untuk pengalaman yang lebih menarik, cubalah aktiviti 'para-sailing' di tepi pantai dan nikmati pemandangan di sekeliling pantai dari udara.
.

Apabila matahari terbenam, pantai Batu Ferringhi menjelma menjadi tempat yang sangat meriah dengan pasar malam yang diadakan di sepanjang jalanraya yang menjual segala-galanya dari barangan lama yang menarik hingga cenderamata yang cantik. Saksikan artis tempatan menunjukkan demonstrasi melukis batik dan kraftangan. Pasar malam yang juga digelar Ferringhi Walk menawarkan pelbagai jenis tarikan kepada pelawat.


Tidak jauh dari Batu Ferringhi ialah sebuah taman yang dinamakan Taman Herba (Spice Garden). Taman ini mempunyai landskap yang indah serta sebuah cafe yang kecil tetapi menawan yang menawarkan minuman dan kek yang lazat. Sebatang laluan trek hutan juga terdapat di sini. Cara termudah untuk anda pergi-balik dari Georgetown ke Batu Ferringhi ialah dengan menggunakan teksi. Perkhidmatan bas tidak begitu kerap dan jarak antara keduanya terlalu jauh dan cuaca yang panas tidak sesuai untuk berbasikal.






masjid kapitan keling

Masjid Kapitan Keling mula-mula dibina oleh tentera East India Company yang merupakan antara penduduk Islam yang mula-mula menetap di Pulau Pinang di penghujung tahun 1700. Beberapa tahun kemudian, penduduk India Muslim yang kian berkembang jumlahnya memerlukan sebuah masjid tetap yang lebih besar.



Pada tahun 1801, masyarakat ini yang diketuai oleh pemimpin mereka, Cauder Mydin Merican yang juga bergelar 'Kapitan Keling' telah diberikan kawasan tanah seluas 18 ekar. Bangunan asal yang dibina merupakan bangunan satu tingkat yang diperbuat dari batu-bata tetapi setelah berabad lamanya masjid ini telah banyak diubahsuai dan dinaiktaraf mengikut arus perkembangan semasa.

Masjid berwarna putih ini di kelilingi dengan tembok yang rendah dan dihiasi dengan kubah dan menara berwarna kuning mengikut gaya senibina India Muslim. Terdapat juga sebuah madrassah (tempat pembelajaran agama) di dalam perkarangan masjid ini. Menara yang tinggi ini yang pernah digunakan suatu ketika dahulu untuk bilal melaungkan azan terletak di persimpangan di antara Jalan Buckingham dan Jalan Pitt.