BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, June 10, 2009

kuala lumpur

tugu negara
.
Di perkarangan Tugu Negara tersergam sebuah arca tugu peringatan gangsa yang terbesar di dunia. Arca ini dicipta pada tahun 1966 oleh Felix de Weldon iaitu seorang pereka terkenal yang juga telah mencipta tugu peringatan Iwo Jima di Washington DC. Tujuh orang askar yang membentuk tugu peringatan ini melambangkan ketaatan, pengorbanan dan kerjasama penduduk Malaysia. Tugu ini didirikan bagi memperingati jasa mereka yang terlibat (dan terkorban) di dalam Perang Dunia Kedua dan sewaktu Darudat di Malaya. Tugu ini terletak di lokasi yang tenteram, di kelilingi dengan kolam air pancut yang dihiasi arca bunga teratai yang diperbuat dari pewter.


Bersebelahan Tugu Negara terletak Taman ASEAN dan Memorial Tun Razak di mana tersimpannya barang-barang peninggalan Perdana Menteri Malaysia yang kedua iaitu allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Tugu Negara paling sesuai dilawati di sebelah petang kerana tugu tersebut terletak di kawasan terbuka. Pelawat juga disyorkan melawat Taman Tasik Perdana yang berdekatan. Tugu Negara terletak bersebelahan Taman Tasik Perdana di Jalan Parlimen.Kuala Lumpur menawarkan pelbagai pilihan tempat penginapan dari asrama pengembara yang ringkas hingga ke hotel mewah bertaraf 5-bintang.





pusat perfileman finas
.
Galeri filem unik ini menceritakan kisah perkembangan industri perfileman negara dari 1930-an hingga ke hari ini. Galeri yang dibuka pada 2007 ini memberi penghormatan kepada aktivis filem sejak kegemilangan Studio Jalan Ampas, Studio Jalan Katong dan Studio Merdeka. Antara barangan yang dipamerkan termasuk majalah filem lama, peralatan membuat filem selain filem menunjukkan perkembangan industri filem di Malaysia.


Terdapat juga pusat sumber dan teater mini yang menayangkan filem klasik Melayu.
Marilah ke galeri perfileman ini untuk menyaksikan perkembangan dunia perfileman yang menarik! Waktu pembukaan: Selasa - Ahad, 9 pagi hingga 5 petang. Masuk adalah percuma

menara kuala lumpur


Menara KL yang mempunyai ketinggian 421 meter merupakan menara komunikasi yang keempat tertinggi di dunia dan salah satu dari tanda asas ibukota Kuala Lumpur yang terkenal.
Anda boleh menaiki lif berkelajuan tinggi di menara ini dan singgah di pelantar pemerhatian di menara ini yang terletak di ketinggian 335 meter untuk melihat pemandangan indah ibukota Kuala Lumpur. Dari sini, landskap ibukota yang dipenuhi dengan bangunan-bangunan pencakar langit dan kawasan-kawasan hijau boleh dilihat secara keseluruhan.



Hutan Lipur Bukit Nanas yang terletak di kaki Menara KL merupakan salah sebuah 'kawasan hijau' ibukota KL. Kawasan hutan hujan tua yang kecil ini menawarkan laluan-laluan siar bagi pejalan kaki dan tumbuhan serta haiwan yang hanya terdapat di Malaysia. Di sini, anda pasti terpegun dengan kehadiran rama-rama beraneka warna, serangga, tupai, burung eksotik dan juga monyet di dalam habitat semulajadi mereka - semuanya di tengah-tengah bandar berhampiran kesibukan jalanraya!
.
Antara tarikan terbaru di Menara KL dan Bukit Nanas ialah aktiviti sukan lasak terjun 'bungee' yang dinamakan 'The G-Force'. Pengalaman anda akan dirakamkan dan diberikan kepada anda sebagai kenang-kenangan - Bukan untuk mereka yang lemah semangat! Di bahagian atas Menara KL terdapat restoran berputar Seri Angkasa di mana anda boleh menjamu selera dengan hidangan bufet sambil menikmati pemandangan 360 darjah kaki langit ibukota KL.
.
Menara KL terletak agak jauh di atas bukit. Jika anda tidak gemar berjalan kaki dalam cuaca panas, anda disarankan menaiki teksi untuk ke sini. Persembahan muzik tradisional dan kontemporari sering diadakan di sini dan pastikan anda berhubung dengan pusat maklumat Menara untuk mengetahui jadual acara terkini sebelum anda pergi ke sana.

Cara paling mudah untuk ke Hutan Lipur Bukit Nanas ialah dengan menaiki perkhidmatan pengangkutan KL Monorail atau PUTRA LRT. Stesen terdekat bagi laluan PUTRA LRT ialah stesen Dang Wangi. Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan KL Monorail dan turun di stesen Bukit Nanas. Dari situ, anda hanya perlu menaiki teksi atau berjalan kaki hingga sampai ke Jalan Sultan Ismail dan belok ke kanan di Jalan P. Ramlee, dan kemudian belok ke kanan sekali lagi untuk menaiki bukit. Pintu masuk Menara KL terletak di sebelah kiri anda.
.
.
menara berkembar petronas
.
Menara Berkembar Petronas, bangunan 88-tingkat yang juga dikenali sebagai KLCC merupakan bangunan berkembar yang tertinggi di dunia. Menara kebanggaan Kuala Lumpur yang terletak di tengah-tengah pusat bandar ini mengandungi kompleks pejabat, dewan konvensyen, sebuah taman yang luas dan kompleks membeli-belah.
.
Seni bina menara berkembar ini direka oleh arkitek Amerika yang berasal dari Argentina iaitu Cesar Pelli yang mendapat ilham rekaan dari corak geometrik yang sering digunakan di dalam senibina Islam. Taman KLCC merupakan sebuah taman yang luas dengan landskap yang direka indah terhampar di sebelah menara senibina yang unggul ini. Tarikan-tarikan lain yang terdapat berdekatan termasuk kompleks membeli-belah Suria KLCC, Dewan Filharmonik Petronas, Pusat Sains Petronas, Galeri Seni Petronas, Aquaria Oceanarium dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur .


Jangan ketinggalan melawat jambatan udara (skybridge) yang dibuka kepada pelawat mulai jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang dari hari Selasa hingga Ahad (ditutup pada hari Isnin). Menara Berkembar Petronas terletak di antara Jalan Ampang dan Jalan Raja Chulan. Hotel Mandarin Oriental dan The Ascott juga terletak berhampiran dengan menara ini. Stesen KLCC dihubungkan oleh laluan keretapi PUTRA LRT.


0 comments: