BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, June 10, 2009

melaka

.
taman mini malaysia
.
Taman Mini Malaysia terletak beberapa kilometer di pinggir bandar Melaka berdekatan pekan Ayer Keroh. Sekiranya anda berminat dengan senibina dan cara hidup tradisional, inilah tempat yang paling sesuai untuk anda terokai. Setiap buah rumah di sini mewakilkan salah satu gaya senibina dari 13 buah negeri di Malaysia dan 12 buah rumah ASEAN yang dihiasi dengan pelbagai barangan, hasil seni dan kraftangan yang menggambarkan budaya di setiap negeri tersebut.

Di dalam setiap buah rumah di sini, anda akan dapat melihat pelbagai seni kraftangan tulen yang berasal dari negeri atau daerah berkenaan. Rumah-rumah tradisional yang dibina dengan tiang kayu ini turut mempamerkan patung yang memakai baju Melayu tradisional gaya khusus bagi negeri berkenaan. Lain-lain tarikan di taman ini termasuk pertunjukan kebudayaan dan permainan tradisional yang diadakan pada setiap minggu. Taman ini juga menawarkan kemudahan untuk pakej seminar dan mesyuarat dengan harga yang berpatutan. Selain itu, kemudahan calet dan dormitori dengan kemudahan kolam renang juga disediakan untuk keselesaan pelancong. Aktiviti kerja berpasukan dan bengkel tarian asas juga boleh diadakan di sini.
.
Secara ringkas, taman ini memberi peluang kepada pelawat untuk melihat kesemua senibina dan warisan Malaysia dalam satu lawatan sahaja. Taman ini juga adalah tempat yang sesuai untuk berehat yang jauh dari kesibukan bandaraya.



Untuk menjimatkan wang dan masa, anda disarankan melawat taman ini di dalam perjalanan menuju ke bandaraya Melaka atau sewaktu pulang. Ambil susur keluar dari Lebuhraya Utara-Selatan di persimpangan Ayer Keroh. Pandu terus hingga anda melihat papan tanda Taman Mini Malaysia & Mini ASEAN.Taman Mini Malaysia & Mini ASEAN ini juga menawarkan kemudahan penginapan calet yang berkonsepkan senibina dari pelbagai negara dengan kadar harga yang berpatutan.
.
.
bukit st. paul
.
Pihak Portugis telah menjajah Melaka dari tahun 1511 hingga 1641. Perkara pertama yang mereka lakukan ialah membina sebuah kubu berhampiran sungai yang dinamakan A'Famosa.
Kubu A'Famosa memainkan peranan yang amat penting bagi pihak Portugis bagi mengekalkan kuasa mereka di Timur Jauh ketika itu kerana Melaka adalah pusat perbalahan antara kuasa-kuasa besar dan sering diancam serangan.


Perkarangan kubu itu pada masa dahulu mengandungi rumah, tempat menyimpan makanan, istana dan tempat mesyuarat bagi Majlis Portugis dan wakil lima buah gereja.
Serangan pihak Belanda yang berterusan selama tujuh bulan lamanya hampir memusnahkan keseluruhan kubu tersebut di mana hanya gerbang pintu masuk dan bangunan gereja di atas bukit sahaja yang tinggal.
.
Pergilah berjalan-jalan mendaki Bukit St. Paul selepas pukul 3 petang ketika cuaca lebih nyaman dan bersiar-siar di bawah pokok-pokok besar dan melihat peninggalan sejarah yang dapat dilihat hingga hari ini. Dapat anda bayangkan kegemilangan dan penderitaan yang melanda pihak Portugis di sini pada suatu waktu dahulu.


Tidak menjadi kesukaran kepada anda untuk datang ke Bukit St. Paul dari tempat penginapan kerana ianya terletak di tengah-tengah bandar Melaka. Melaka menawarkan pelbagai pilihan tempat penginapan samada asrama pengembara yang ringkas atau hotel mewah bertaraf 5-bintang.


the stadhuys
.
Bangunan Stadhuys yang di bina pada tahun 1650 sebagai kediaman rasmi Gabenor Belanda dan para pegawainya merupakan contoh terbaik gaya senibina Belanda ketika itu.
Ianya dipercayai merupakan bangunan Belanda yang tertua di rantau Timur.



Bangunan yang menggambarkan contoh terbaik senibina Belanda di zaman itu kini mengandungi Muzium Sejarah dan Muzium Etnografi. Terdapat pameran pakaian pengantin tradisional serta bahan peninggalan sejarah Melaka 400 tahun yang lalu. Kedua-dua muzium ini diatur dengan baik dan memaparkan penerangan terperinci mengenai cara bagaimana pakaian-pakaian dan bahan-bahan peninggalan ini memainkan peranan di zaman dahulu.


Di dataran berhadapan dengan bangunan Stadhuys seringkali kelihatan penarik-penarik beca tua yang peramah yang sedang menunggu pelanggan dengan beca mereka yang dihias cantik. Anda berpeluang mengambil gambar bersama-sama beca mereka dengan sedikit bayaran. Stadhuys ditutup setiap hari Isnin. Stadhuys terletak di tengah-tengah bandar lama Melaka. Jika anda berada di Jalan Kota, anda tentu terjumpa bangunan besar yang berwarna merah ini.Melaka menawarkan pilihan berbagai-bagai jenis tempat penginapan dari asrama pengembara yang ringkas hingga hotel mewah bertaraf 5-bintang.

0 comments: