BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, June 9, 2009

terengganu

pulau kapas
.
Pulau Kapas yang terletak kira-kria 6km dari pinggir pantai Marang ialah sebuah pulau yang tersohor dengan air lautnya yang jernih, pantai berpasir putih dan lambaian pohon kelapa yang gemalai. Pulau ini yang agak terpencil, jauh dari kesibukan di tanah besar merupakan destinasi yang paling sesuai untuk mereka yang mencari tempat untuk ketenangan dan berehat. Pelbagai jenis batu karang lembut dan keras, ikan, penyu dan hidupan laut lain yang menarik menjadikannya destinasi wajib bagi penyelam skuba dan perenang snokel yang arif.
.
Suasana pulau yang santai ini memberi keselesaan kepada pelawat untuk berehat di sini. Selain itu terdapat pelbagai aktiviti di sini untuk memenuhi masa lapang anda. Pilih sahaja kesukaan anda : menyelam, berenang, snokel, luncur papan air, kayak, menaiki bot atau memancing.
Pulau Kapas sukar dikunjungi sewaktu musim hujan di pantai timur (November - Mac).
.
Perjalanan bot dari Marang ke Pulau Kapas memakan masa selama 30 minit. Pulau ini mempunyai resort yang selesa tetapi pelawat disarankan menempahnya sebagai sebahagian dari pakej percutian menyelam yang merangkumi makanan, sesi menyelam dan tempat penginapan.

rantau abang


Satu lagi tempat yang sepatutnya termasuk di dalam jadual percutian pelancong ialah Rantau Abang yang terletak 60km ke selatan bandar Kuala Terengganu. Di sini, pelawat boleh menunggu dari tengah malam hingga ke subuh bagi melihat penyu belimbing yang besar naik ke darat untuk bertelur. Penyu-penyu ini merangkak perlahan-lahan di pasir putih untuk bertelur, meninggalkan gambaran yang tidak mungkin dapat dilupakan pelawat.

Penyu raksasa ini boleh membesar sehingga 2.5m panjang dan kadangkala seberat lebih dari 375kg. Rantau Abang ialah salah satu dari enam lokasi di dunia yang dikunjungi oleh penyu-penyu ini dari bulan Mei hingga September. Penyu dan telur penyu ini adalah dilindungi. Telur penyu dikesan dan dialihkan oleh ahli sains ke pusat inkubator di mana persekitarannya akan dikawal bagi menentukan jantina penyu yang menetas sebagai usaha agar spesis ini terus wujud.

Setibanya anda di pantai ini, kunjungi Pusat Maklumat Penyu di sini bagi mempelajari lebih lanjut mengenai haiwan ini dan mengetahui tempat terbaik untuk melihat penyu bertelur. Perkhidmatan bas dari pekan Marang ke Rantau Abang disediakan setiap setengah jam.


pulau redang
.
Pulau Redang yang terletak 45km dari pinggir pantai Kuala Terengganu merupakan pulau terbesar dari gugusan sembilan buah pulau yang terlindung di Laut China Selatan.
Pulau ini menawarkan air laut yang jernih dan beraneka tapak selaman skuba bagi penggemar aktiviti menyelam. Perairan yang terlindung di sekitar Taman Laut Pulau Redang ini kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut yang cantik dan menarik.





Di waktu tengahari, apabila matahari bersinar terang menebusi air laut, kelihatan jelas terumbu karang yang beraneka jenis, anemone, dan ikan-ikan yang berwarna-warni. Perairan di sekitar Pulau Redang juga mengandungi dua bangkai kapal karam : Kapal H.M.S. Prince of Wales dan H.M.S. Repulse yang karam di sini sewaktu Perang Dunia Kedua yang membolehkan tentera Jepun menakluki Malaya.



Pulau yang indah ini amat sesuai untuk aktiviti snokel, berenang, menyelam skuba, merentas hutan, menaiki bot dan menaiki kanu. Oleh kerana Pulau Redang telah diwartakan sebagai Taman Laut, aktiviti memancing tidak dibenarkan dalam kawasan lingkungan sejauh 3.2km dari pulau. Pelawat juga dilarang mengumpul batu karang atau sebarang hidupan laut yang lain. Berjaya Resort di sini menawarkan kemudahan padang golf dengan persekitaran yang mempesona.

.
Pulau Redang adalah lebih besar dan mempunyai lebih banyak aktiviti berbanding dengan kedua-dua Pulau Perhentian yang berdekatan. Mulakan penerokaan pulau-pulau di sini dengan menaiki bot di salah satu jeti di Kuala Terengganu dan Merang. Perjalanan bot ke Pulau Redang memakan masa selama satu jam dari Kuala Terengganu dan 50 minit dari Merang.

Thursday, June 4, 2009

pulau pinang

kota cornwallis
.
Fort Cornwallis yang dinamakan sempena Gabenor Charles Cornwallis yang berkuasa di Bengal di penghujung dekad 1700 merupakan sebuah tapak bersejarah yang sangat menarik di Georgetown. Kubu ini terletak berhampiran dengan Esplanade di sebelah Menara Jam Peringatan Victoria.
.

Dinding kubu setinggi 10 kaki tersusun mengikut bentuk bintang. Anda masih boleh melihat sebahagian dari bangunan asal yang dibina lebih sekurun yang lalu, termasuk gereja, penjara, tempat menyimpan peluru dan senjata, menara api yang digunakan suatu masa dahulu bagi menghantar isyarat kepada kapal-kapal yang belayar di waktu malam.

Selain itu, terdapat tiang bendera asal dan beberapa biji meriam yang mana salah-satunya merupakan meriam Belanda yang diberi gelaran Seri Rambai yang bertarikh 1603. Perkara penting mengenai meriam Seri Rambai ini ialah kepercayaan penduduk tempatan bahawa meriam ini mempunyai pengaruh ke atas kesuburan wanita dalam mengandungkan anak. Kini, tapak bersejarah yang dikendalikan oleh pihak persendirian ini sangat popular di kalangan pelawat.

Ianya dilengkapi dengan kiosk maklumat pelancongan, ruang pentas terbuka, galeri sejarah, pusat cenderamata, dan pemandu pelawat yang boleh membawa anda melawat di perkarangan kubu tersebut dan memberikan anda gambaran zaman silam kubu ini.
.
Fort Cornwallis menawarkan khidmat pemandu pelawat yang peramah dan berpengetahuan tinggi yang berpakaian seragam ala tentera kolonial yang berwarna merah boleh membawa anda di sekitar perkarangan kubu tersebut dengan bayaran yang rendah. Sekiranya anda tidak mempunyai sebarang buku panduan atau pengetahuan mengenai latarbelakang kubu ini, pemandu pelawat yang ada di sini sememangnya berbaloi untuk anda gunakan. Kubu ini dibuka untuk lawatan dari pukul 8.30 pagi hingga pukul 6.30 petang.

batu feringghi


Batu Ferringhi merupakan pantai yang popular di Pulau Pinang terletak di sepanjang jalan pantai di barat-laut bandar Georgetown dan dipenuhi deretan hotel-hotel mewah bertaraf antarabangsa. Berehat sambil bermandikan sinaran matahari atau cuba aktiviti-aktiviti tepi pantai yang menyeronokkan seperti aktiviti luncur papan layar atau berkayak.
Untuk pengalaman yang lebih menarik, cubalah aktiviti 'para-sailing' di tepi pantai dan nikmati pemandangan di sekeliling pantai dari udara.
.

Apabila matahari terbenam, pantai Batu Ferringhi menjelma menjadi tempat yang sangat meriah dengan pasar malam yang diadakan di sepanjang jalanraya yang menjual segala-galanya dari barangan lama yang menarik hingga cenderamata yang cantik. Saksikan artis tempatan menunjukkan demonstrasi melukis batik dan kraftangan. Pasar malam yang juga digelar Ferringhi Walk menawarkan pelbagai jenis tarikan kepada pelawat.


Tidak jauh dari Batu Ferringhi ialah sebuah taman yang dinamakan Taman Herba (Spice Garden). Taman ini mempunyai landskap yang indah serta sebuah cafe yang kecil tetapi menawan yang menawarkan minuman dan kek yang lazat. Sebatang laluan trek hutan juga terdapat di sini. Cara termudah untuk anda pergi-balik dari Georgetown ke Batu Ferringhi ialah dengan menggunakan teksi. Perkhidmatan bas tidak begitu kerap dan jarak antara keduanya terlalu jauh dan cuaca yang panas tidak sesuai untuk berbasikal.






masjid kapitan keling

Masjid Kapitan Keling mula-mula dibina oleh tentera East India Company yang merupakan antara penduduk Islam yang mula-mula menetap di Pulau Pinang di penghujung tahun 1700. Beberapa tahun kemudian, penduduk India Muslim yang kian berkembang jumlahnya memerlukan sebuah masjid tetap yang lebih besar.



Pada tahun 1801, masyarakat ini yang diketuai oleh pemimpin mereka, Cauder Mydin Merican yang juga bergelar 'Kapitan Keling' telah diberikan kawasan tanah seluas 18 ekar. Bangunan asal yang dibina merupakan bangunan satu tingkat yang diperbuat dari batu-bata tetapi setelah berabad lamanya masjid ini telah banyak diubahsuai dan dinaiktaraf mengikut arus perkembangan semasa.

Masjid berwarna putih ini di kelilingi dengan tembok yang rendah dan dihiasi dengan kubah dan menara berwarna kuning mengikut gaya senibina India Muslim. Terdapat juga sebuah madrassah (tempat pembelajaran agama) di dalam perkarangan masjid ini. Menara yang tinggi ini yang pernah digunakan suatu ketika dahulu untuk bilal melaungkan azan terletak di persimpangan di antara Jalan Buckingham dan Jalan Pitt.

Wednesday, June 3, 2009

pahang

genting highland

Kota Keriangan yang terletak di puncak Genting Highlands yang sejuk dan berangin ini menawarkan keriangan dan keseronokan tanpa henti. Salah satu tarikan utama di Genting Highlands ialah cuacanya yang sejuk dan nyaman. Oleh sebab kedudukannya yang terletak 2,000m dari paras laut, warga Malaysia gemar datang ke sini semata-mata untuk menikmati cuaca nyaman seakan-akan di Eropah!


Pada waktu petang, persembahan-persembahan hebat diadakan di Pavilion atau Pentas Pertunjukan Antarabangsa Genting, sama ada pertunjukan silap mata yang mengelirukan atau pun persembahan luncur ais yang hebat. Pelawat juga boleh pergi membeli-belah di First World Plaza, melawat taman tema, dan menikmati pelbagai jenis makanan yang disediakan di restoran-restoran yang terdapat di sini.

Taman tema tertutup dan kompleks membeli-belah First World Plaza menyediakan pelbagai jenis permainan serta enam kawasan bertema yang berasaskan ibukota dan tempat terkenal di seluruh dunia - Perancis (Champs Elysees), England (London), Itali (Venice), Amerika (Times Square dan Universal Walk), Switzerland (Banjaran Swiss) dan Malaysia (Genting Walk).
Snow World pula merupakan sebuah rumah kabin kayu, sebuah igloo, permainan luncur ais dan kawasan permainan yang bersalji. Kawasan Snow World memang sejuk, oleh itu, jangan lupa memakai pakaian yang tebal. Kanak-kanak pasti sukakan Kolam Air Hutan Hujan, walaupun keadaan cuaca di sini agak sejuk, air di dalam kolam ini sentiasa hangat.

.


Antara tarikan lain yang terdapat di sini termasuk Genting Sky Venture, satu-satunya alat kemudahan yang memberikan pengalaman berpayung terjun yang terdapat di Asia, dan Genting X-pedition Wall, sebuah tembok pendakian bertaraf antarabangsa setinggi 15 meter dengan tebing terjuntai sepanjang 6 meter. Lain-lain tarikan di sini termasuk kemudahan bermain bowling, arked video, pawagam cineplex dan macam-macam permainan lain yang pasti menyeronokkan. Salah satu tarikan utama di sini ialah kasino yang merupakan satu-satunya kasino di Malaysia.

Pelawat disarankan membuat tempahan bilik hotel terlebih dahulu jika ingin bermalam di Genting Highlands kerana ianya adalah sebuah destinasi hujung minggu yang sangat popular. Anda boleh sampai di Genting Highlands di dalam masa lebih-kurang 45 minit sekiranya anda memandu dari Kuala Lumpur menerusi Lebuhraya Karak.




cameron highland

Iklim sejuk, ladang strawberi dan teh serta bangunan gaya Tudor di stesen peranginan tanah tinggi terbesar di Malaysia pasti menawan hati pelancong. Terdapat pelbagai aktiviti untuk anda nikmati di Tanah Tinggi Cameron, pusat peranginan tanah tinggi yang terbesar di Malaysia.
Bersiar-siar melalui perkampungan yang menarik, melawat taman rama-rama, ladang lebah dan strawberi serta ladang teh yang terhampar luas atau nikmati makanan lazat yang dihidangkan di restoran gaya Tudor - semua aktiviti yang menyeronokkan dan menenangkan tersedia di sini untuk anda.


Cuaca nyaman di sini memang tidak dapat ditandingi. Luangkan beberapa hari di sini, jauh dari kehangatan cuaca di tanah rendah dan anda pasti kembali segar untuk percutian anda seterusnya. Salah satu aktiviti popular di Tanah Tinggi Cameron atau Cameron Highlands ialah menikmati hidangan air teh dan biskut 'scone'.

Tradisi asli Inggeris ini bermula di zaman penjajahan British apabila para pegawai Inggeris menggunakan lokasi di tanah tinggi ini sebagai tempat berehat yang jauh dari kehangatan cuaca di tanah rendah. Aktiviti memerhati burung dan menyusuri trek di hutan juga amat popular di kalangan pelawat di sini.
.

Tanah Tinggi Cameron yang terletak 1,500 meter dari aras laut mempunyai beberapa buah pekan kecil seperti Ringlet, Tanah Rata, Brinchang, Tringkap, Kuala Terla dan Kampung Raja. Tempat ini juga mudah dikunjungi.
.

Anda boleh tiba di Tanah Tinggi Cameron kurang dari sejam perjalanan melalui Lebuhraya Utara-Selatan atau kira-kira 3 1/2 jam perjalanan sekiranya anda memandu dari Kuala Lumpur.


pulau tioman

Pulau Tioman merupakan destinasi percutian yang paling mempesona di Laut China Selatan, terletak kira-kira 56km dari pantai negeri Pahang. Tersohor sebagai salah sebuah destinasi percutian pulau yang terhebat di dunia, Pulau Tioman pernah menjadi lokasi penggambaran filem muzikal Hollywood, 'South Pacific' pada tahun 1959.

Menurut cerita legenda, pulau ini merupakan tempat tinggal puteri naga dongengan. Perairan yang suam dan jarak penglihatan yang tinggi di bawah laut menjadikan Pulau Tioman destinasi popular di kalangan penyelam. Saksikan pemandangan yang mengagumkan termasuk karang lembut Gorgonian, karang Staghorn, 'nudibranch' dan pelbagai bentuk hidupan laut yang indah. Penyelam berpeluang berenang di sisiikan Napoleon Wrasse yang besar, ikan Golden Striped Trevally, Bumphead Parrotfish dan kumpulan ikan Fusiliers.

Terdapat beberapa buah perkampungan di sepanjang pantai di sekeliling pulau ini, antaranya Kampung Salang, Tekek, Genting, Paya dan Juara. Setiap kampung menawarkan suasana yang berbeza dan unik. Kawasan pedalaman Pulau Tioman yang berhutan juga menjadi tempat tinggal pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan kecil termasuk rama-rama, mengkarung, rusa dan monyet.

Tumbuhan dan haiwan liar yang terdapat di Pulau Tioman juga pernah dipaparkan di dalam dokumentari National Geographic. Formasi batu granit yang membentuk pulau ini menjadikannya lokasi yang hebat untuk aktiviti memanjat batu. Bagi mereka yang lebih berani, boleh mencuba memanjat tebing Gunung Nenek Semukut (juga bergelar Dragon's Horns). Berjaya Tioman Beach, Golf & Spa Resort menawarkan tempat penginapan yang mewah, berlatarbelakangkan pemandangan bukit-bukau yang beralun.

Jika anda gemar berjalan kaki, anda perlu mencuba laluan merentas pulau yang bermula dari Kampung Tekek di sebelah barat hingga ke Kampung Juara di sebelah Timur. Perjalanan ini boleh disempurnakan dengan mudah dan menawarkan pemandangan pantai serta hutan di kedua-dua belah Pulau Tioman.

Dari Johor Bahru, gunakan Lebuhraya Tebrau dan pandu menuju ke Mersing menerusi Kota Tinggi. Dari Kuala Lumpur, gunakan Lebuhraya Karak menerusi Temerloh, Kuantan, Pekan, Kuala Rompin,Tanjung Gemuk ke Mersing. Anda juga boleh menggunakan Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur menerusi Seremban, Bahau, Muadzam Shah, Kuala Rompin, Tanjung Gemuk ke Mersing.

Tuesday, June 2, 2009

kedah

pulau langkawi

Langkawi merupakan salah satu daerah dalam negeri Kedah Darul Aman . Pulau Langkawi diberi status bebas cukai pada tahun 1987 . Kini , pulau yang kaya dengan keindahan semula jadi dan lagenda masa silam ini telah menampilkan diri sebagai satu daripada destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia . Langkawi sebenarnya merupakan suatu gugusan pulau di mana Pulau Langkawi merupakan yang terbesar .

Nama Langkawi ialah kombinasi antara "Lang" dan "Kawi" diambil daripada perkataan Bahasa Melayu iaitu helang . Pada suatu masa dahulu , ia menjadi tempat tinggal kepada sejumlah burung helang kawi . Kawi bererti merah hati , ini kerana helang mempunyai bulu merah dan berkepala putih . Kawi juga bererti tulisan Kawi , tulisan yang digunakan oleh tradisi hindu jawa .

"Kawi" dalam bahasa sanskrit ialah guli , yang mana ia ditemui sebagai pertemuan bahagian Malaysia . Apabila kedua-dua perkataan digabungkan , ia membentuk perkataan "Helangkawi" yang kemudiannya menjadi "Langkawi" .

Langkawi terletak di utara Selat Melaka di selatan Laut Andaman berhampiran sempadan antara Malaysia dengan Thailand . Beberapa kilometer jarak ke utara pulau Thai iaitu Ko Tarutao . Bandar utama gugusan pulau terletak di pulau utama iaitu Kuah .

Langkawi adalah gugusan 99 buah pulau yang terletak di luar pesisiran pantai Kedah. Ia sebuah pulau legenda yang penuh misteri, selain pusat pelancongan bertaraf antarabangsa dunia. Anda juga boleh melawat Padang Beras Terbakar, Telaga Air Panas, Telaga Tujuh, dan Pantai Pasir Hitam. Terdapat juga lawatan menggunakan bot ke Tasik Dayang Bunting, Gua Cerita dan Gua Langsir. Anda boleh melawat Padang Beras Terbakar, Telaga Air Panas, Telaga Tujuh, dan Pantai Pasir Hitam. Terdapat juga lawatan menggunakan bot ke Tasik Dayang Bunting, Gua Cerita dan Gua Langsir. Jika anda seorang yang gemar cabaran yang lasak, anda boleh juga menjelajah kawasan hutan di Langkawi, menaiki bot mengelilingi kawasan paya bakau, menyelam, atau bermain golf di pusat peranginan bertaraf lima bintang di pulau ini.

Perkhidmatan feri bertolak dari pelabuhan Kuala Kedah setiap satu jam mulai pukul 7.00 pagi hingga pukul 6.00 petang. Perjalanan ini memakan masa 1 1/2 jam. Terdapat juga perkhidmatan feri dari pelabuhan Kuala Perlis dan pelabuhan Satun di Thailand. Kedua-dua perjalanan feri ini memakan masa hanya 45 minit ke Langkawi manakala Kedua-dua syarikat penerbangan, MAS dan Air Asia menyediakan penerbangan terus dua kali sehari dari Kuala Lumpur ke Langkawi yang mendarat di Lapangan Terbang Langkawi.



pulau payar

Taburan pulau-pulau kecil yang membentuk Pulau Payar terletak hanya 30 km ke tenggara Pulau Langkawi. Taman Laut terhebat di pantai barat Semenanjung ini boleh dikunjungi dengan bot dalam tempoh satu jam sahaja menjadikannya destinasi yang sesuai untuk lawatan sehari.

Taman Laut terlindung yang tidak diduduki manusia ini merangkumi beberapa buah pulau termasuk pulau yang terbesar - Pulau Payar. Tapak lawatan anda di sini merupakan sebuah platform yang didirikan tidak jauh dari Pulau Payar. Tetapi tarikan sebenar terselindung di dalam perairan sekelilingnya. Masuk ke dalam ruang pemerhatian bawah laut yang terdapat di sini untuk melihat keindahan hidupan laut di sekitar kawasan terumbu karang. Ingin melihat ikan-ikan yang menjadikan terumbu karang ini tempat tinggal mereka dengan lebih dekat lagi? Kenakan kelengkapan snorkel dan terjun ke laut untuk melihat sendiri!

Anda gemar menyelam? Tapak selaman terhebat terletak di sepanjang jalinan terumbu karang yang memagari bahagian selatan, timur dan barat Pulau Payar. Pastikan anda tanya pengendali selaman anda mengenai jarak penglihatan yang dijangka ketika selaman anda. Jarak ini berubah dari masa ke semasa.

Pulau Payar tidak mempunyai sebarang kemudahan penginapan memandangkan ianya sebuah kawasan semulajadi yang dilindungi, tetapi ini tidak menjadi masalah kerana Pulau Langkawi terletak tidak jauh dari sini dan menawarkan pelbagai pilihan tempat tinggal dan restoran.

.

Tree Top Walk Sungai Sedim

Tree Top Walk sepanjang 950 meter di Taman Rekreasi Sungai Sedim ini merupakan titian terpanjang di dunia. Pelancong dari dalam dan luar negara datang ke destinasi semulajadi yang sunyi dari hiruk pikuk kota untuk menikmati pemandangan flora dan fauna yang terdapat di sepanjang titian kanopi ini. Pelancong berpeluang melihat pemandangan hutan hujan yang tua ini dari perspektif yang amat berlainan ketika menyusuri Tree Top Walk ini. Pelancong boleh melihat pemandangan sungai yang mengalir deras dan jenis-jenis tumbuhan dan hidupan liar yang sungguh menawan - kesemuanya dari ketinggian 50 m dari tanah.

Pakai kasut yang selesa untuk berjalan jauh dan bawa air minuman yang banyak serta sedikit makanan ringan kerana anda perlu merentas hutan menerusi sebatang jalan untuk sampai ke Tree Top Walk ini. Tambahan lagi, sebaik sahaja anda menaiki titian ini, tiada tempat untuk anda membeli minuman.

Dari Kuala Lumpur, gunakan Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) dan ambil susur keluar di Seberang Jaya, menuju ke Lebuhraya Butterworth-Kulim (NKE) dan pandu terus menuju ke Mahang

Monday, June 1, 2009

perak

kuala sepetang

Hutan Paya Bakau Matang merupakan eko-sistem hutan paya bakau yang paling besar di Semenanjung Malaysia. Hutan ini meliputi kawasan sepanjang 50 km bahagian pantai barat di utara negeri Perak dan 40 km lagi di sepanjang pinggiran sistem sungai-sungai di dalam lima kawasan muara yang terlindung.


Sewaktu musim penghijrahan burung antara bulan Ogos dan April setiap tahun, terdapat lebih dari 200,000 ekor burung dari kira-kira 50 spesis dijangka singgah di sini. Pusat maklumat pelawat yang lengkap disediakan di sini bagi membolehkan pelawat memahami kepentingan memelihara dan menjaga ekosistem hutan paya bakau dan burung-burung yang tinggal atau pun yang singgah di sini menerusi program pembelajaran dan bahan pameran yang disediakan.


Taman Perlindungan Burung Kuala Gula pernah memenangi anugerah 'Tarikan Pelancong Terbaik (Tarikan Semulajadi) sewaktu majlis Anugerah Pelancongan Malaysia - sebuah majlis gemilang yang menyampaikan anugerah-anugerah kepada agensi dan pertubuhan yang menyumbang kepada pembangunan pelancongan di Malaysia. Masa terbaik untuk memerhati burung di sini ialah dari bulan September hingga Mac.


Walaupun kawasan perlindungan burung in terletak di Negeri Perak, sebenarnya ia lebih mudah dikunjungi dari Butterworth (di Pulau Pinang). Pandu di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan menuju selatan dari Butterworth (di Pulau Pinang) selama kira-kira 30 minit, kemudian susur keluar di Jawi menghala ke pekan Kuala Kurau. Pandu terus selama 30 minit lagi dan anda akan jumpa papan-papan tanda yang menunjukkan arah ke Kuala Gula.




pulau pangkor


Pulau Pangkor terletak di negeri Perak , di perairan Selat Melaka . Luasnya cuma 22oo hektar dan penduduknya berjumlah 25ooo orang . Pulau Pangkor merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di Malaysia . Dari Kuala Lumpur anda boleh memandu melalui lebuhraya PLUS ke Ipoh dan seterusnya ke Lumut. Terdapat perkhidmatan bas ekspres KL-Lumut-KL sepanjang hari. Dari Lumut anda akan menaiki feri ke Jeti Pangkor.


Jika anda berkunjung ke Pulau Pangkor, anda akan berpeluang untuk melihat sendiri bagaimana hasil laut diproses dan anda boleh membeli barang-barang tersebut dengan harga yang istimewa. Terdapat pelbagai jenis penginapan disediakan di dua pantai perkelahan utama Pulau Pangkor iaitu Pantai Pasir Bogak dan Pantai Teluk Nipah. Pasir Bogak menawarkan bilik, hotel, apartment dan chalet manakala Teluk Nipah menawarkan beratus-ratus chalet yang bercirikan seni bina Melayu eksotik. Pakej-pakej yang ditawarkan termasuk pakej percutian (individu, pasangan, keluarga & kumpulan).



Terdapat pelbagai kemudahan di pulau ini supaya percutian anda tidak terganggu. Seperti bank-bank, pejabat pos, hospital, restaurant makanan laut, internet & banyak lagi kemudahan-kemudahan yang lain. Untuk memudahkan anda bergerak kemana-mana anda boleh menaiki teksi (van merah jambu) atau menyewa kereta & motosikal. Pantai Pasir Bogak, Pangkor Island / Pulau Pangkor menyediakan penginapan hotel dan apartmen yang lengkap dengan kemudahan seperti restoran, dan kolam renang. Pantai ini merupakan pantai perkelahan yang amat popular di kalangan para pelancong dalam negeri. Pantainya panjang dan dilindungi pepohon rendang, amat sesuai melakukan aktiviti sukan pantai atau hanya untuk bersantai dan mandi laut.




hutan simpan belum

Hutan Simpan Belum yang merupakan sebuah hutan dara yang luas terletak di utara Tasik Temenggor, di bahagian utara Negeri Perak. Kawasan ini merupakan salah satu kawasan hutan simpan terbesar di Semenanjung yang tidak pernah diterokai oleh manusia.

Kehadiran spesis haiwan mamalia yang besar di sini seperti gajah, badak sumbu, tapir dan harimau menjadikan Hutan Belum sebuah hutan simpan yang amat istimewa. Hutan ini kaya dengan haiwan dan tumbuhan yang mengagumkan yang mana banyak kawasan di sini belum pernah di teroka atau diganggu oleh kehadiran manusia.

Beberapa syarikat pengendali pelancong kini menawarkan lawatan berpandu ke tempat-tempat tertentu di hutan simpan ini dan boleh mengaturkan permit-permit kebenaran yang diperlukan untuk melawat ke sini dan juga pengangkutan darat dan sungai malah mungkin merangkumi aktiviti perkhemahan.


Gunakan pakaian yang nipis dan longgar; kemeja-t lengan panjang yang selesa dan seluar panjang untuk perlindungan dari serangga dan luka cakaran. pada masa-masa tertentu, keadaan di dalam hutan ini boleh menjadi sejuk. Bawa bersama jaket kalis air untuk keselesaan anda. Ketika meneroka hutan, pilih laluan trek yang boleh anda sempurnakan sebelum matahari terbenam dan pastikan anda memberitahu rancangan anda untuk meneroka kepada orang lain agar mereka boleh menjangka bila anda akan pulang dari penerokaan anda. Anda disarankan supaya tidak melencong dari laluan yang telah ditandakan di dalam hutan ini.


Dari Kuala Lumpur, gunakan Lebuhraya Utara-Selatan menuju ke Ipoh. Selepas Ipoh, ambil susur keluar ke Kuala Kangsar dan pandu ke arah pekan Gerik. Gunakan Laluan 4 iaitu Lebuhraya Timur-Barat. Lebuhraya ini akan membawa anda ke Pulau Banding iaitu gerbang masuk ke Hutan Belum. Perjalanan dari KL memakan masa kira-kira 5 1/2 jam. Kebenaran masuk ke Hutan Simpan Belum lebih mudah didapati sekiranya anda berurusan dengan pemilik resort yang terdapat di sini.